PETALING JAYA – Lagu dikir barat yang popular di Kelantan berjudul Cicak nampaknya semakin menjadi sambutan ramai apabila alunan melodinya dimainkan di Denmark.
lagu Cicak sebelum ini menjadi fenomena di Indonesia apabila beberapa pempengaruh negara jiran itu mula mempopularkan lagu nyanyian Allahyarham Cikgu Naim iaitu salah seorang tukang karut dikir barat tersohor di Kelantan.
Dalam klip video yang tular di media sosial ketika ini, kelihatan sekumpulan budak muda membawa pembesar suara sambil memainkan lagu tersebut di sebuah jalanan di ibu kota Copenhagen, Denmark.
Kelihatan mereka juga turut menyanyikan lagu tersebut sambil berjalan.
Video berdurasi 17 saat turut memaparkan remaja-remaja tersebut menari sambil memainkan lagu ‘Cicak’ di hadapan orang ramai. Dalam masa sama, beberapa individu dilihat sedang memandang ke arah mereka sewaktu sedang menghayati lagu tersebut.
Difahamkan, lagu loghat Kelantan itu dimainkan selepas diminta oleh salah seorang pengguna TikTok dipercayai dari Malaysia. Kemudian, pemilik akaun TikTok tersebut bersama rakan-rakannya memutarkan lagu tersebut.
“Muzik Malaysia kini berada di Denmark,” katanya.
Sebelum ini, @kaspermoose.vn turut memutarkan lagu-lagu daripada negara Indonesia, Filipina dan Thailand yang diminta oleh pengikut-pengikutnya di Asia Tenggara.
Video tersebut berkenaan ketika ini telah mendapat 3 juta tontonan. – KOSMO! ONLINE