fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: 54.3 peratus keluasan Malaysia kawasan berhutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, kawasan berhutan di Malaysia adalah seluas 54.3 peratus daripada keseluruhan keluasan negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keluasan kawasan berhutan tersebut melangkaui had 50 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut beliau, keluasan kawasan berhutan itu mematuhi perjanjian bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dimeterai pada 1992.

“Kita masih dalam had ditetapkan, cuma perlu uruskan ladang dan hutan kita. Kita jangan buat ‘deforestation’. Misalnya kelapa sawit.

“Kita buat dasar tidak benarkan pembasmian hutan untuk menanam kelapa sawit,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung pembasmian hutan bagi projek pertanian dan perladangan.

Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat untuk menanam ladang hutan bermula tahun 2007.

Kata beliau, setakat ini hampir 147,000 hektar sudah dibangunkan dan pinjaman telah diluluskan kepada 88 syarikat untuk program tersebut.

Tambah beliau, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif Penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan.

Jelas beliau, penubuhan ladang hutan bertujuan menggantikan kawasan miskin dan terosot dengan penanaman pokok spesies tempatan atau eksotik memiliki kadar tumbesaran cepat dan bermutu tinggi.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan ladang hutan dalam HSK bukan aktiviti pembasmian hutan kerana aktiviti berkenaan tidak membabitkan penukaran kawasan berhutan secara kekal kepada guna tanah bukan hutan.

“Sehingga kini, keluasan ladang hutan dalam kawasan HSK di Semenanjung adalah 259,654.85 hektar sehingga 30 Jun lalu. Seluas 175,331.75 hektar sudah dilaksanakan penanaman semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI