KUALA LUMPUR – Negara direkodkan menanggung kerugian lebih RM1.22 bilion akibat aktiviti jenayah siber bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024.
Ketua Polis Negara,Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara jenayah yang dikesan melibatkan penipuan kewangan, penipuan dalam talian, manipulasi identiti serta pencerobohan data secara haram.
Menurutnya, CyberSecurity Malaysia melaporkan lebih 5,900 insiden berlaku pada 2023, termasuk 3,705 kes penipuan.
“Terdapat peningkatan yang mengejutkan sebanyak 1,100 peratus dalam laporan kebocoran data berbanding tahun sebelumnya.
“Angka-angka ini menonjolkan kesan sebenar, gangguan ekonomi, dan kehilangan kepercayaan terhadap ekosistem digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvesyen Sime Darby, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman (KDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid menyeru supaya PDRM menyesuaikan diri untuk menangani cabaran itu secara langsung.
Sehubungan itu, katanya, PDRM akan melaksanakan kecerdesan buatan (AI) dalam pentadbiran dan pengurusan serta penugasan bagi meningkatkan keupayaan menangani jenayah siber.
“Dengan pelaksanaan AI, saya percaya banyak masalah dapat diatasi dan juga mengurangkan kepergantungan kepada modal insan itu sendiri.
“Kita akan mengeksplorasi dan cuba sedaya upaya untuk menerapkan AI dalam pasukan supaya PDRM lebih maju selari dengan perubahan zaman terutamA dari sudut teknologi,” katanya.
Mengulas siri dialog PDRM, beliau berkata, ia berfungsi sebagai platform utama untuk bertukar pandangan operasi, merangka cadangan dasar dan menggalakkan kerjasama strategik.
“Sesi ketiga ini memberi tumpuan kepada kerumitan dan kesegeraan jenayah siber yang semakin meningkat, menjadikannya topik yang sangat relevan dan kritikal dalam persekitaran hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE