BALIK PULAU – Dengan hanya membayar 90 sen, pengunjung boleh menikmati nasi lemak bersama roti canai di Baen Cafe Ayaq Gajah, Pulau Betong di sini pada setiap pagi Jumaat bermula 29 Ogos ini.
Usaha murni itu diperkenalkan pemiliknya, Ibrahim Abdul Rahim, 43, yang mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan setia serta meringankan beban keluarga yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.
Menurut Ibrahim, tawaran tersebut berbentuk bufet membolehkan pelanggan yang membayar 90 sen menikmati nasi lemak, roti canai dan kuih-muih lengkap dengan minuman panas seperti teh tarik, Milo dan teh O.
“Konsep ini mudah, setiap pagi Jumaat pelanggan bayar hanya 90 sen untuk makanan dan minuman.
“Kemudian mereka boleh pilih apa sahaja makanan serta minuman yang kami sediakan dalam tempoh waktu 7 pagi hingga 11 pagi,” katanya di sini, semalam.
Ibrahim yang turut dikenali sebagai Baen berkata, dia sebenarnya ingin mengembalikan sokongan pelanggan kepada perniagaannya dalam bentuk tawaran istimewa.
“Kami peniaga tak boleh kata ini sedekah, sebab perniagaan tetap perlu berjalan. Tetapi apabila pelanggan sokong kita, kita juga mahu kembalikan sesuatu kepada mereka. Cara ini ibarat kita berkongsi rezeki,” katanya.
Ibrahim memberitahu, idea itu tercetus selepas melihat ramai pelanggan tetap yang tidak pernah jemu singgah ke kedainya walaupun keadaan ekonomi agak menekan sejak kebelakangan ini.
Katanya, walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, beliau tetap bertekad meneruskan program tersebut sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral kepada komuniti setempat.
”Kalau nak dikira untung memang tak ada. Tetapi bukan semua perkara dalam perniagaan ini perlu dikira dengan wang semata-mata. Kadang-kadang kita kena fikir bagaimana nak eratkan hubungan dengan pelanggan,” jelasnya.
Jelasnya lagi, pada minggu pertama nanti, menu asas seperti nasi lemak, roti canai dan kuih-muih akan dihidangkan, manakala minuman panas turut disediakan bagi menambah pilihan pelanggan.
Ibrahim optimis sambutan daripada orang ramai akan menggalakkan dan berharap inisiatif itu dapat diteruskan secara berterusan, sama ada secara mingguan atau bulanan pada masa depan.
”Saya harap pelanggan akan datang bukan sekadar untuk makan murah, tetapi untuk rasa nilai kebersamaan. Inilah cara kecil kami menyumbang balik kepada orang kampung,” katanya.















