fbpx
Mohamad (tiga,kiri) melihat varieti padi baharu MARDI MR 333 dengan diberi nama Menora pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR 333 di Lahar Minyak, Kepala Batas hari ini. - Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!

Padi Menora diyakini tingkat daya tahan padi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengisytiharkan varieti padi baharu MR 333, Menora yang diyakini mampu meningkatkan produktiviti dan daya tahan tanaman padi negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah hasil penyelidikan intensif MARDI yang turut disokong melalui peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan padi dan beras.

“Kajian MARDI mendapati ketahanan MR 333 terhadap penyakit karah membantu mengurangkan keperluan penggunaan racun kimia yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga memberi manfaat kepada alam sekitar.

“Selain berpotensi hasil tinggi serta mempunyai ketahanan terhadap penyakit, kita yakin menerusi pematuhan SOP penanaman yang baik, ia akan memberikan pulangan yang menguntungkan kepada pesawah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI M 333 di Kampung Lahar Minyak, Kepala Batas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata varieti ini dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dan telah mencatatkan potensi hasil tertinggi sehingga 9.96 tan sehektar.

“Varieti MR 333 yang dinamakan Menora ini bersempena budaya tradisi dan warisan negeri di utara Malaysia. Varieti ini sesuai sebagai alternatif kepada varieti popular seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307.

“Ia dijangka mendapat sambutan dalam kalangan pesawah kerana tempoh matang yang singkat, ketahanan rebah dan berat 1,000 biji yang lebih tinggi kira-kira 30.9 gram sekali gus menjadi faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI