KUALA LUMPUR – Motosikal roda tiga yang kebiasaan digunakan petani dan pekebun kecil untuk angkut barangan perlu didaftarkan serta memenuhi syarat keselamatan sebelum dibenarkan di jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kenderaan itu mesti mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959 termasuk mendapatkan Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kalau motosikal diubah suai tanpa kelulusan, ia tidak sah di sisi undang-undang. Jika berlaku apa-apa, risiko ditanggung sendiri pengguna,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, motosikal roda tiga berdaftar perlu dikategorikan sebagai kenderaan barangan, manakala penunggang wajib memiliki Lesen Memandu Kelas C serta Lesen Vokasional GDL.
Loke menjawab soalan Kalam Salan (PN–Sabak Bernam) yang membangkitkan isu kelulusan kenderaan roda tiga untuk kegunaan petani.
“Kementerian melalui JPJ sedia beri penerangan dan bantuan teknikal untuk kelulusan VTA bagi model baharu atau yang diubah suai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE