fbpx
JENAZAH Allahyarham Roslinawati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tementi, kira-kira pukul 2.45 pagi, hari ini.

Eyna Lee suka bersedekah, miliki RXZ pada usia 21 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERA – “Siapa yang tidak sedih tetapi kami reda dengan pemergian adik kami. Dia ‘pergi’ dengan wajah seolah-olah sedang tidur.”

Demikian kata Roslidawati Ramli, 41. kakak kepada Allahyarham Roslinawati Ramli, 33, yang maut di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu, semalam.

Roslidawati memberitahu, arwah bukan bergerak bersendirian ke himpunan itu tetapi turut bersama suami, suami adiknya, Mohd Nor Mustapa, 34, serta dua anak mereka, Alyssa Sofea, 4 dan Alyssa Waheeda, 6, ibu bapa mentua dan ahli keluarga lain yang mengiringi menaiki kereta.

Katanya, adiknya yang lebih dikenali sebagai Eyna Lee telah menghubunginya memaklumkan mereka akan ke acara itu, dan akan berjumpa dengannya sejurus tiba di Terengganu, memandangkan dia menetap di sana.

“Arwah sentiasa menghubungi saya untuk memaklumkan perkembangan terkini sepanjang perjalanan. Sehingga di Hentian Sebelah Kijal, itu kali terakhir kami berhubung sebelum saya menerima panggilan daripada salah seorang anak saudara mengatakan dia terbabit kemalangan.

“Saya segera ke lokasi kejadian, tetapi lima minit kemudian saya terima panggilan memaklumkan adik saya sudah tiada,” katanya kepada Kosmo!.

Jelas Roslidawati, walaupun dia tidak sempat berada bersama arwah adiknya ketika itu, namun suami arwah sempat meriba mangsa pada saat-saat arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah memang dari dulu meminati aktiviti permotoran. Pada usia remaja, abah sudah belikan motosikal untuknya. Malah, pada usia 21 tahun, dia memiliki RXZ yang dibeli sendiri. Bukan pertama kali dia menyertai aktiviti, malah banyak kali.

“Selalunya dia pergi bersama suami dan ahli keluarga yang lain. Himpunan RXZ Members, dia pergi setiap tahun. Jadi, kalau ada yang mengatakan arwah tunggang laju atau tidak memikirkan soal keselamatan, itu tidak benar,” ujarnya.

Sementara itu, kakak arwah, Rosmawati Ramli, 43 memberitahu, jenazah adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tementi, kira-kira pukul 2.45 pagi, hari ini.

“Alhamdulillah, ramai yang hadir ziarah. Dia sangat dikenali di kawasan Felda ini, orangnya ceria, peramah dan suka bantu orang. Malah, dia sangat suka bersedekah kepada sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Roslinawati menyertai konvoi 13 motosikal untuk menyertai RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus.

Mangsa dikatakan bergerak daripada rumahnya di Simpang Renggam, Johor pada pukul 1 pagi semalam dan sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI