KUALA NERUS – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun mencuri perhatian ramai apabila berjaya menempuh perjalanan hampir dua jam menaiki motosikal ditunggang bapanya untuk menyertai Himpunan RXZ Members 7.0 semalam.
Bapanya, Wan Mohd. Shah Riezal Abdullah, 29, berkata, dia membawa anaknya, Wan Mohd. Yazid Darwisy yang mesra disapa Yazid dengan kelajuan yang selamat dan menggunakan tali pinggang keselamatan khas sepanjang perjalanan.
Katanya, turut sama dalam konvoi mereka ialah isterinya, Yusaifaf Saludin, 28.
“Dua lagi anak lelaki kami yang berusia dua tahun dan tujuh bulan memang dari awal ikut nenek mereka menaiki kereta tapi Yazid berkeras nak bersama saya.
“Dia memang minat RXZ, hari-hari tengok saya dengan motor. Sebelum ni kalau pergi konvoi, dia naik kereta tapi kali ini dia sendiri minta nak rasa naik motor,” katanya ketika
ditemui di Litar Permotoran Terengganu, di sini semalam.
Ujarnya, beliau tidak pernah terlepas menghadiri Himpunan RXZ Members sejak edisi 1.0 lagi dan kali ini lebih bermakna kerana dapat membawa isteri serta anak.
“Isteri pun memang minat RXZ, sebab itu tahun ini saya hadiahkan sebuah motor untuk dia. Tahun lepas dia hanya jadi pembonceng tetapi sekarang dah ada lesen, jadi boleh bawa motosikal sendiri,” ujarnya.
Katanya, mereka sekeluarga berada di Litar Permotoran Terengganu selama dua hari bagi merasai suasana pesta RXZ yang menghimpunkan ribuan peminat motosikal tersebut dari seluruh negara.














