PETALING JAYA – Syarat aktiviti berkonvoi perlu diperketatkan dalam usaha mengekang kes kemalangan jalan raya, kata Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri.
Jamil berkata, meskipun tiada satu akta khusus tetapi konvoi motosikal yang menghalang trafik boleh didakwa di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sikap menunggang secara seiring, jarak terlalu rapat dan kelajuan tinggi menyumbang kepada insiden perlanggaran sesama mereka harus diatasi sepenuhnya bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku.
“Menunggang secara berkumpulan sebaik-baiknya diwajibkan membuat pendaftaran khusus lengkap dengan khidmat lead marshal, sweeper dan pengiring,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.
Beliau tidak menafikan terdapat penunggang motosikal yang mematuhi garis panduan konvoi dan insiden perlanggaran biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang membuat perancangan perjalanan sendiri.
Mengulas mengenai nahas melibatkan penunggang RXZ Members, Jamil berkata, mengubah suai motosikal yang secara tidak langsung mempengaruhi peserta menunggang secara berbahaya.
Justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengadakan operasi bagi membanteras pemilik bengkel yang bersekongkol menawarkan khidmat ubah suai yang menyalahi Akta Pengangkutan Jalan.
“Sikap peserta menunggang secara berbahaya melakukan aksi ‘superman’ pada kelajuan tinggi perlu ditangani secara lebih serius bagi mengelak lebih ramai terkorban,” katanya.
Jamil berkata, langkah lain adalah dengan mengadakan Program Pembangunan Remaja Bermotosikal di seluruh negara.
“Program itu perlu melibatkan jurulatih penunggang berhemah dan dalam kalangan pelumba negara. Selain itu, institusi pendidikan di Malaysia juga boleh memainkan peranan mereka termasuk majikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE