DALAM era media sosial yang serba laju ini, fear of missing out atau juga dikenali sebagai FOMO bukan satu istilah asing.
Ia merujuk kepada perasaan gelisah dan resah apabila merasakan diri ketinggalan daripada sesuatu sama ada majlis sosial, trend fesyen, pencapaian kerjaya mahupun percutian mewah yang dipaparkan rakan-rakan di media sosial.
Walaupun istilah ini sudah lama diperkatakan, hakikatnya FOMO masih membelenggu ramai tanpa disedari.
Persoalannya, sampai bila kita mahu hidup dalam bayang-bayang ketakutan ini? Adakah FOMO sekadar perasaan biasa, atau sebenarnya satu bentuk tekanan yang merosakkan kesejahteraan mental kita?
Menurut Timbalan Dekan Ijazah Dasar dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Azmawaty Mohamad Nor, FOMO merupakan situasi yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun golongan remaja dan awal dewasa lebih berpotensi untuk mengalaminya.
“Hal ini kerana dua golongan ini lebih terdedah kepada penggunaan media sosial yang menjadi alat utama untuk mereka berhubung.
“Jika dahulu, hanya terdapat beberapa platform media sosial utama contohnya Facebook dan Instagram, namun kini kemunculan platform baharu iaitu TikTok dengan ciri seperti ‘for you page’ (FYP) menjadikan pengguna media sosial mudah untuk kekal berhubung.
“Namun, dengan adanya ciri baharu itu, semakin besar cabaran untuk mengelakkan rasa FOMO,” katanya.
Menurut Azmawaty, pendedahan berterusan terhadap media sosial dapat menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini. Ia sering menggambarkan kehidupan yang ideal, mencipta ilusi bahawa orang lain lebih bahagia dan berjaya.
Katanya, media sosial memberi sorotan kepada perkara menggembirakan, dan pencapaian yang membanggakan, menyebabkan kita membandingkan diri secara berlebihan dengan orang lain.
“Kesan secara tidak langsung daripada FOMO dapat dilihat apabila seseorang itu mula terperangkap dalam pemikiran berbentuk rumination iaitu asyik memikirkan pemikiran negatif secara berulang tanpa sebarang penyelesaian.
“Hal ini boleh menghakis kebolehan individu untuk berdapatasi kerana pemikiran mereka menjadi lebih pasif dan sukar untuk mencari penyelesaian masalah.
“Adalah penting mengambil langkah pencegahan sekiranya ada tanda-tanda ini agar FOMO tidak berlarutan dan mempengaruhi kehidupan seharian serta kesihatan, seperti mengehadkan penggunaan media sosial bagi mengelak melihat kehidupan orang lain secara kerap,” katanya.
Azmawaty berkata, amalan mengungkapkan kata-kata positif terhadap diri sendiri juga dapat membantu mengurangkan keinginan untuk terikut-ikut dengan orang lain.
“Dengan memberi keutamaan terhadap matlamat peribadi, kita mampu mengatasi perasaan serta menyelaraskan kehidupan dengan memfokuskan terhadap perkara penting untuk diri sendiri.
“Justeru, fokuslah dengan menghargai apa yang dimiliki dan ambil masa kita sendiri dalam mencapai sesuatu,” katanya.
















