SEBERANG PERAI – Warga emas yang tular tertidur di atas pangkin semasa menunggu pelanggan datang membeli nasi lemaknya di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini, baru-baru ini tidak menyangka jualannya kini laris tidak sampai 15 minit.
Supiah Ali, 68, yang lebih mesra disapa sebagai Tok Piah berkata, dia bersyukur dengan perubahan itu apabila perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu kembali mendapat sambutan.
Katanya, ia seakan mengimbau kenangan ketika mula berniaga pada 2021 apabila pelanggan tidak putus-putus datang ke gerainya.
“Namun sejak dua tahun lalu, perniagaan saya kurang dapat sambutan kerana pelanggan hanya lalu dan tidak berhenti. Lima bungkus pun belum tentu terjual.
“Bakinya saya bungkus beri pada cucu, jiran atau beri ayam makan. Pernah seharian berniaga saya cuma dapat RM3 tetapi saya tetap berniaga keesokan harinya,” kata ibu kepada lapan anak itu ketika ditemui.
Menurut Tok Piah, dia bangun seawal pukul 4 pagi setiap hari untuk menyiapkan nasi lemak sebelum mengayuh basikal ke gerai 3 jam kemudian.
Tambahnya, dia mula tular apabila sepasang suami isteri merakam gambarnya pada pukul 10 pagi Isnin lalu.
“Petang baru suami maklumkan gambar saya tular. Keesokan harinya, saya terkejut orang beratur panjang dan dalam tempoh 15 minit nasi lemak yang dijual antara RM1.50 hingga RM2 itu habis,” katanya.
Ujar Tok Piah, dia akan menambah kuantiti nasi lemaknya termasuk lauk seperti sambal sotong kering, gulai udang, ayam masak kicap, ikan bilis serta sambal selepas ini.
“Kasihan pelanggan yang tak sempat nikmati nasi lemak. Saya berterima kasih kepada mereka yang datang,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Yusuf Abu, 30, berkata, dia datang ke gerai itu kerana gambar tular tersebut.
“Sejak semalam (kelmarin) saya datang tapi tak sempat beli kerana habis awal. Hari ini (semalam), saya datang lagi pada pukul 8 pagi selepas habis kerja dari Batu Kawan, habis juga.
“Saya terus buat tempahan nasi lemak bungkus untuk rakan-rakan di kilang malam nanti (semalam). Saya tersentuh tengok nenek ini berniaga sampai tertidur. Dia seolah-olah seperti ibu saya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang warga emas yang tertidur semasa menunggu pelanggan membeli nasi lemak telah menarik perhatian pengguna media sosial.- KOSMO! ONLINE















