KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles merakamkan penghargaan terhadap usaha Malaysia untuk menamatkan konflik di sempadan bersama Kemboja dan Thailand.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan Australia menghargai usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menjadi pengantara untuk gencatan senjata konflik tersebut.
Penghargaan itu dinyatakan semasa beliau dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) Ke-5 di sini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan terus menyelaras dan berunding dengan negara anggota ASEAN bagi memastikan pelaksanaan penuh gencatan senjata tersebut.
“Hal ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan undang-undang, kehidupan bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala demi penyelesaian yang adil dan berkekalan,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada Australia atas sokongan dalam menaik taraf infrastruktur dan pembaikan landasan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.
Sehubungan itu, kedua-dua Menteri Pertahanan mengalu-alukan kemajuan ketara yang telah dicapai dalam kerja-kerja naik taraf dan pembaikan landasan berkenaan.
Mohamed Khaled dan Marles pada mesyuarat itu turut menegaskan bahawa kerjasama pertahanan merupakan tonggak asas kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Para menteri bersetuju bahawa kerjasama pertahanan dua hala yang kukuh diperkukuh melalui Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP)
“Mereka memuji keluasan dan hala tuju masa depan serta aktiviti di bawah MAJDP, termasuk program pendidikan menyeluruh, latihan dan eksesais,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua Menteri Pertahanan juga mengiktiraf ancaman yang terus berkembang dalam bidang keselamatan siber, keselamatan maritim, keganasan, dan ekstremisme ganas di rantau ini serta menegaskan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama. – KOSMO! ONLINE