Pemergian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SKM) Tun Datu Mustapha, Papar telah mengundang duka yang mendalam dalam hati rakyat Malaysia.
Walaupun kebanyakan daripada kita tidak pernah mengenalinya secara peribadi, berita tentang penderitaan dan nasibnya telah mengalir deras di media sosial, menyentuh hati rakyat dari segenap lapisan masyarakat.
Ini membuktikan bahawa rasa kemanusiaan itu tidak mengenal batas keluarga, negeri, bangsa mahupun agama.
Kehilangan seorang anak muda akibat tragedi yang masih menimbulkan persoalan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia membuka mata kita bahawa isu keselamatan, keadilan dan hak asasi manusia bukan lagi sesuatu yang abstrak, tetapi realiti yang perlu diangkat dengan penuh tanggungjawab.
Dalam Islam, setiap nyawa adalah amanah dan setiap kematian yang meragukan mesti diberi perhatian agar tidak berlaku pengabaian atau kezaliman.
Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran:
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan sebab yang benar…”(Surah al-Isra’: 33)
Ayat ini menunjukkan betapa tinggi nilai sebuah nyawa. Maka, apabila seorang pelajar muda kehilangan hayat dalam keadaan tragis, ia bukan hanya urusan keluarganya, tetapi juga urusan ummah.
Kita melihat gelombang solidariti rakyat melalui pelbagai medium sama ada perhimpunan aman, perkongsian di media sosial, doa di masjid dan surau, bahkan tulisan di media arus perdana serta portal berita.
Semua ini membuktikan bahawa masyarakat masih peka, masih punya hati nurani dan masih mahu menuntut kebenaran.
Islam mengajarkan kita bahawa kepedulian terhadap penderitaan orang lain adalah satu tuntutan agama. Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan…”(Surah al-Ma’idah: 2)
Maka, solidariti rakyat dalam kes ini bukan sekadar emosi, tetapi manifestasi iman yang hidup.
Rasulullah SAW bersabda:
“Perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati antara mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Hadis ini mengajar kita bahawa penderitaan seorang Muslim adalah penderitaan kita bersama. Jika seorang anak muda kehilangan nyawa secara tragis, seluruh masyarakat wajar merasai kesakitannya. Solidariti bukanlah sesuatu yang remeh, sebaliknya ia adalah tanda bahawa iman masih berakar kukuh dalam hati umat.
Keadilan sebagai asas
Namun, Rasulullah SAW juga mengingatkan agar kasih sayang itu tidak hanya ditunjukkan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan nyata iaitu menuntut keadilan, membantu yang lemah dan menghalang kezaliman.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah sekalipun terhadap dirimu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabatmu…” (Surah an-Nisa’: 135)
Ayat ini menunjukkan bahawa keadilan adalah tunjang sebuah masyarakat. Solidariti rakyat dalam isu Zara mencerminkan roh ayat tersebut; rakyat menuntut siasatan yang telus, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh. Kebenaran mesti ditegakkan walau siapapun yang terlibat.
Dalam sejarah Islam, Khalifah Umar al-Khattab RA pernah berkata:
“Seandainya seekor kambing mati di tepi Sungai Furat (disebabkan pelbagai faktor, kehausan, jatuh dalam sungai ) aku takut akan disoal akan hal itu pada hari kiamat kelak.”
Ungkapan ini menggambarkan betapa seriusnya Islam menuntut pemimpin menegakkan keadilan.
Maka, tragedi Zara sepatutnya menggerakkan hati semua pihak berwajib agar lebih teliti dan adil dalam menjaga keselamatan pelajar serta menyiasat setiap kes kematian yang meragukan.
Solidariti bukan bermakna kita bebas menabur tuduhan. Islam memberi garis panduan jelas. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)
Dalam dunia digital, fitnah boleh tersebar lebih laju daripada cahaya. Justeru, umat Islam mesti berhati-hati agar solidariti tidak bertukar menjadi fitnah. Menuntut keadilan adalah suatu kemestian, tetapi ia mesti dilakukan dengan fakta, adab dan penuh rasa tanggungjawab.
Sokongan kepada keluarga mangsa tidak bermaksud kita berhak menjatuhkan hukuman ke atas pihak tertentu tanpa bukti. Sikap terburu-buru boleh menambah luka kepada keluarga, bahkan menzalimi orang lain yang tidak bersalah.
Bina masa depan
Solidariti tidak sepatutnya berhenti pada emosi. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan membina masa depan termasuklah aspek keluarga iaitu dengan memberikan sokongan moral, material dan spiritual kepada keluarga mangsa.
Masyarakat juga perlu mengekalkan kesedaran kolektif terhadap isu keselamatan pelajar dan budaya anti-buli, manakala sekolah dan guru memainkan peranan menguatkan pengawasan, membina budaya empati dan mengajar nilai akhlak sejajar dengan akademik.
Di pihak kerajaan dan pihak berkuasa, mereka perlu melaksanakan siasatan telus, menutup ruang ketidakadilan serta menggubal polisi lebih tegas menentang budaya keganasan di sekolah.
Satu lagi cabang penting ialah media, yakni perlu berperanan dalam melaporkan isu dengan beretika, tanpa sensasi murahan atau fitnah.
Dalam sejarah, Rasulullah SAW pernah mendukung Perjanjian Hilf al-Fudul iaitu sebuah pakatan menegakkan keadilan walaupun melibatkan bukan Islam. Baginda menyebut:
“Sekiranya aku diajak kepada perjanjian seperti itu lagi (setelah Islam datang), nescaya aku akan menyertainya.” (Riwayat Ahmad)
Ini membuktikan bahawa menegakkan keadilan adalah nilai sejagat. Maka, solidariti kita terhadap Zara adalah sambungan kepada tradisi keadilan yang diwariskan oleh Nabi SAW.
Tragedi Zara seharusnya membuka mata semua bahawa sekolah bukan hanya tempat pencapaian akademik, tetapi medan pembinaan akhlak. Kita mesti memupuk budaya rahmah, empati dan kasih sayang.
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak agar beradab sejak kecil. Guru mesti menjadi qudwah hasanah, bukan sekadar penyampai ilmu.
Pelajar pula perlu dididik untuk menjadi rakan yang menyokong, bukan pembuli.
Budaya buli dan pengabaian tidak boleh dipandang enteng. Ia adalah penyakit sosial yang mesti dicegah dengan pendidikan menyeluruh. Rasulullah SAW bersabda:
“Seorang Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain; dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya (dizalimi).” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Maka, kita mesti memastikan tragedi sebegini tidak berulang dengan melaksanakan pendekatan pendidikan rahmah yang seimbang antara akademik dan akhlak.
Solidariti rakyat dalam tragedi Zara adalah cerminan keprihatinan masyarakat kita. Namun, ia mesti dipandu oleh ajaran Islam; membela yang lemah, menegakkan kebenaran, menghindari fitnah dan menyeru pihak berkuasa berlaku adil.
Tragedi ini adalah ujian untuk negara iaitu adakah kita benar-benar serius menjaga nyawa setiap warga, atau kita hanya tersentak seketika lalu kembali lena?
Moga Allah menjadikan tragedi ini sebagai titik perubahan. Semoga ia menjadi peringatan bahawa setiap nyawa adalah amanah yang wajib dilindungi dan setiap kezaliman mesti ditentang.
Al-Fatihah untuk roh almarhumah Zara.















