LONDON – Para peminat Arsenal diselubungi kebimbangan selepas mengetahui bahawa perlawanan kedua melibatkan pasukan itu menentang Leeds United di Emirates hujung minggu ini bakal diadili oleh Jarred Gillett.
Gillett memiliki rekod yang kurang baik setiap kali bertugas dalam perlawanan melibatkan Arsenal menyebabkan para penyokong The Gunners kurang senang selepas mengetahui beliau akan bertugas di Emirates pada perlawanan kedua Liga Perdana Inggeris.
Pengadil berkenaan sebelum ini bertugas sebagai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika Arsenal tewas 0-2 kepada Bournemouth di Stadium Vitality pada Oktober tahun lalu, malah pemain pertahanan William Saliba juga dilayangkan kad merah pada aksi tersebut.
Saliba ketika itu didakwa telah mengasari Evanilson dan pengadil perlawanan, Rob Jones telah melayangkan kad merah, namun Gillett mencadangkan bahawa hukuman kad merah dikenakan menyebabkan keputusan pengadil berubah.
“Peminat Liverpool (Jarred Gillett) dilantik sebagai pengadil pada aksi Arsenal menentang Leeds United. Anda boleh teka pasukan mana yang kami akan tentang selepas itu? Dia adalah pegawai VAR ketika kami menentang Bournemouth dan seminggu kemudian kami berdepan Liverpool tanpa Saliba,” kata salah seorang peminat Arsenal.
Seorang lagi peminat Arsenal mempertikai keputusan pihak pentadbir EPL yang membenarkan Gillett mengadili perlawanan melibatkan pasukan yang akan menentang Liverpool pada aksi berikutnya selepas beliau tidak dibenarkan bertugas pada aksi melibatkan The Reds kerana dakwaan bias.
“Jika beliau tidak dibenarkan mengadili perlawanan melibatkan Liverpool kerana dakwaan beliau merupakan peminat pasukan itu dan mungkin berlaku bias, kenapa beliau dibenarkan untuk bertugas mengadili pasukan yang akan menentang Liverpool kemudiannya. Itu akan memberikan kesan kepada pemain,” jelasnya. – AGENSI