PENGENDALI Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil enggan mendabik dada meskipun pasukan mempamerkan aksi lima bintang selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) 5-0 pada pusingan pertama saingan 16 pasukan Piala FA semalam.
Nidzam mengakui masih banyak ruang yang boleh diperbaiki oleh pasukan walaupun berjaya membuka mata banyak pihak selepas mempamerkan aksi positif pada dua perlawanan kompetitif yang diharungi musim ini.
“Meskipun menang selesa, kita harus ingat perjalanan pasukan dalam liga masih panjang. Ini sebagai permulaan yang baik namun kita perlu terus berusaha untuk mencapai tahap yang lebih baik lagi.
“Secara peribadi, kita baru berkumpul sembilan minggu termasuk pramusim dan saya percaya kita dalam proses untuk meletakkan pasukan ini pada tahap lebih baik.
“Justeru, kita perlukan masa tetapi saya gembira dengan kemenangan ini dan pujian perlu diberikan kepada pemain,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, dua pemain import skuad Hobin Jang Hobin, Jovan Motika dan Joseph Esso terus mencipta sensasi apabila masing-masing meledak dua gol dan satu lagi jaringan dilakukan oleh Mio Tsuneyasu.
Momentum NSFC dilihat sebagai kesinambungan kepada aksi luar biasa yang dipamerkan ketika tewas 3-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Liga Super minggu lalu. – KOSMO! ONLINE