fbpx
Gambar hiasan.

Mahkamah batal sebahagian perkataan dalam Seksyen 233

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membatalkan dua perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), berhubung kesalahan jenayah bagi penghantaran komen dalam talian.

Keputusan sebulat suara itu panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li yang memfailkan saman pemula bagi mencabar sebahagian Seksyen 233 sebelum pindaan.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Dalam penghakiman panel berpendapat, perkataan ‘menghina’ (offensive) dan ‘menjengkelkan’ (annoy) dalam Seksyen 233 adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 8.

Malah perkataan “menghina” dan “menjengkelkan” tidak langsung berkaitan dengan ketenteraman awam dalam peruntukan tersebut.

Mengikut seksyen yang telah dipinda dan berkuat kuasa Februari tahun ini, perkataan “offensive” telah digantikan dengan “grossly offensive” (sangat menghina).

“Ada orang yang tidak mampu menerima kebenaran lalu berasa tersinggung dan terganggu dengan apa yang diucapkan.

“Fakta bahawa kebenaran mungkin tidak menyenangkan tidak sepatutnya menjadi asas untuk menghukum penyampai mesej berkenaan. Jika tindakan seperti ini dianggap satu kesalahan, terutama apabila terdapat banyak laporan polis dibuat, maka kebebasan bersuara menjadi terancam.

“Kita sendiri dalam budaya Melayu mempunyai pepatah seperti “Siapa makan cili, dia terasa pedas” yang menunjukkan kesan ucapan kepada individu berbeza,” kata Swee Seng.

Pada 27 Julai 2021, perayu yang juga pengasas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkongsi kandungan menghina berhubung satu hantaran di laman Facebook yang mendakwa layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Beliau dituduh membuat hantaran itu melalui akaun Facebook atas nama “Heidy Quah” dengan niat untuk menghina orang lain pada kira-kira jam 5.30 pagi, pada 5 Jun 2020 yang didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) AKM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, dan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kemudian pada 25 April 2022, Heidy Quah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas Mahkamah Sesyen membenarkan permohonannya, dan meminta dilepas dan dibebas.

Ketika pendengaran bagi memohon pembebasan penuh, perayu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos 2021 untuk mencabar peruntukan Seksyen 233 yang digunakan terhadapnya.

Pada 12 September 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya tanpa perintah kos. Perayu kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang diputuskan hari ini.

Heidy Quah diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A Surendra Ananth, New Sin Yew dan Nur Izni Syazwani.

Kerajaan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Komunikasi, Farhati Ahmad Tajuddin dan Nordalina Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI