PETALING JAYA – Menteri Pendidikan mahu siasatan kes buli melibatkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun di Johor sehingga mengalami gegaran di bahagian otak disegerakan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Ini kerana kata Fadhina Sidek, pihaknya tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).
Jelasnya, kes itu mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasar kepada garis panduan yang telah ditetapkan.
“Saya mengambil serius kejadian buli melibatkan seorang murid yang berlaku di Johor seperti yang dilaporkan oleh media.
“Siasatan kes ini perlu disegerakan dengan tindakan segera sewajarnya dapat diambil. Tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM,”katanya pada hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menziarahi murid terlibat yang sedang mendapatkan rawatan di hospital.
“Manakala siasatan sedang berjalan. Saya doakan semoga anak ini diberi kesembuhan segera,”katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang ibu,
Siti Suhana Misdi mendakwa individu yang membuli anak lelakinya sehingga mengalami gegaran di bahagian otak tidak diambil tindakan kerana pelaku masih kanak-kanak.
Menurut Siti Suhana, anak lelakinya, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, merupakan pesakit kanser hidung dan telah dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu.
Kata ibu berusia 39 tahun itu, kejadian dipercayai berlaku apabila pelaku tidak berpuas hati apabila cintanya terhadap kakak mangsa ditolak.-KOSMO! ONLINE