Salah satu punca kelewatan penyelesaian harta pusaka adalah disebabkan tuntutan yang berlapis selain melibatkan jumlah waris yang terlalu ramai.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria bersama Pengarah Bahagian Pembahagian Pusaka, JKPTG, Baharuddin Aziz bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut.
KOSMO!: Apa yang dimaksudkan dengan tuntutan berlapis?
Baharuddin Aziz: Tuntutan berlapis boleh berlaku apabila tuntutan pusaka tidak dibuat segera selepas kematian, menyebabkan waris asal meninggal dunia sebelum sempat proses selesai atau dilakukan.
Hak mereka kemudian berpindah kepada generasi seterusnya dan apabila perkara ini berulang, jumlah waris menjadi terlalu ramai menyebabkan proses bertambah kompleks.
Dalam satu kes yang kami kendalikan, pemilik tanah meninggal dunia pada tahun 1931, tetapi permohonan hanya dibuat pada tahun ini.
Dalam tempoh 94 tahun itu, berlaku kematian berlapis sehingga enam generasi dengan lebih 50 waris terlibat.
Kes sebegini memerlukan usaha besar untuk menjejaki dan mengumpulkan dokumen setiap waris, namun ia tidaklah mustahil.
Apakah kesan jika harta pusaka tidak dituntut atau dilewatkan?
Jika nama dalam geran masih atas si mati, tanah tersebut sudah tentu tidak boleh dipindah milik, dijual atau dibangunkan menyebabkan tanah boleh terbiar tanpa manfaat.
Selain itu, jika cukai tanah tidak dibayar dalam tempoh tertentu, kerajaan negeri berhak merampas tanah tersebut. Ia bukan sahaja merugikan waris, malah boleh menyebabkan kehilangan aset keluarga yang sepatutnya diwarisi.
Masyarakat perlu melihat tuntutan harta pusaka sebagai satu tanggungjawab dan amanah bersama yang perlu diselesaikan segera demi mengelakkan masalah yang lebih besar atau rumit di kemudian hari.
Apakah risiko kepada waris dari segi hukum jika harta pusaka tidak dibahagi selepas kematian?
Apabila harta pusaka tidak dibahagi selepas kematian ia kekal didaftarkan atas nama si mati walaupun waris telah menggunakannya atau mendapat hasil daripadanya untuk jangka masa yang lama.
Situasi ini dibimbangi boleh membawa kepada pemilikan atau penggunaan harta secara tidak sah menurut hukum, kerana hak sebenar belum diserahkan mengikut pembahagian yang sepatutnya.
Ada risiko dan kemungkinan waris terlibat ‘makan’ atau guna harta secara haram kerana menggunakan harta yang secara sah, tetapi belum menjadi milik mutlaknya kerana ada bahagian harta yang digunakan sebenarnya hak milik waris lain tanpa kebenaran.
Ia bukan sahaja aset seperti rumah, kenderaan dan lain-lain malah meliputi pokok-pokok tanaman yang diusahakan di atas aset si mati, malah wang yang ditinggalkan dan digunakan untuk urusan kenduri atau tahlil si mati yang sering kali masyarakat terlepas pandang.
Oleh itu, proses turun milik melalui pewarisan bukan sahaja penting dari segi undang-undang, tetapi juga dari sudut agama untuk memastikan harta dimanfaatkan secara halal oleh waris yang berhak.
Apakah langkah yang diambil JKPTG untuk memudahkan proses tuntutan?
JKPTG memperkenalkan sistem MyLand yang membolehkan permohonan tuntutan harta pusaka dibuat secara dalam talian.
Sistem tersebut menyediakan pengiraan faraid automatik, kemudahan memuat naik dokumen yang diperlukan, dan membolehkan waris memantau status permohonan pada bila-bila masa.
Bagi si mati yang mempunyai harta alih sahaja bernilai RM600,000 ke bawah, pembahagian ringkas boleh dibuat tanpa semua waris hadir dengan syarat semua dokumen diperlukan, lengkap.
Apakah kesilapan biasa yang dibuat oleh waris ketika proses memohon tuntutan pusaka?
Antara kesilapan yang kerap berlaku ketika waris membuat tuntutan termasuklah mengisi maklumat waris tidak lengkap. Contohnya, nama tidak sama seperti dalam dokumen pengenalan, atau tidak menyertakan dokumen sokongan yang sah seperti sijil kematian dan geran tanah.
Ada juga yang menyerahkan salinan dokumen yang tidak jelas atau rosak, menyebabkan permohonan terpaksa ditangguhkan sementara menunggu salinan yang betul.
Kesilapan ini sering berlaku kerana waris tidak memahami keperluan dokumentasi atau mengambil mudah proses pentadbiran pusaka.














