fbpx
Suasana di YY Kolam Pancing Udang Galah, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Relaks di YY Kolam Pancing Udang Galah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya sebenarnya tidak pernah memancing udang galah di dalam kolam simen, walaupun suatu ketika dahulu pancingan sebegini menjadi satu fenomena di negara kita. Misalnya, seunit rumah kedai dibina kolam simen di dalamnya dan dimasukkan udang galah atau udang harimau sebagai target pemancing.

Mungkin ketika itu minat saya lebih terarah untuk memancing di kawasan ‘liar’ dan tiada masa kerana terlalu sibuk. Dua orang anak lelaki saya juga masih kecil lagi, jadi mereka jarang mengikut trip memancing.

Selepas beberapa tahun, pernia­gaan kolam pancing udang simen di kedai tumbuh bak cendawan selepas hujan, sebelum akhirnya beransur-ansur kurang.
Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya perkara tersebut.

Namun, sejak kebelakangan ini, aktiviti itu menjelma kembali dengan wujudnya beberapa kolam simen memancing udang galah yang agak rancak terutamanya di sebelah Pantai Timur.

Kebetulan baru-baru ini, saya bercuti bersama keluarga di Kuala Terengganu. Selepas sepetang shore jigging dan eging di salah satu pantai di sana tanpa hasil yang menarik, anak-anak kebosanan dan tidak tahu hendak buat apa pada sebelah malam.

‘Meracun’ dan terjebak
Abang-abang sepupu pula ‘meracun’ mereka memancing di YY Kolam Pancing Udang Galah berdekatan rumah iaitu di Pasir Panjang. Saya pula terjebak apabila anak-anak memujuk.

Kami berenam pergi ke kolam pada pukul 12 tengah malam. Kolam pula akan ditutup pada pukul 3 pagi.

Menariknya, kolam simen bukannya di dalam rumah kedai, sebaliknya dibina di dalam bangunan sendiri yang berbumbung dan berpagar.

Terdapat satu kaunter pembayaran, tandas dan kawasan parkir kereta. Menurut tuan punya kolam, Yazlan Yazid, kolam simen udang galahnya baru empat bulan dibuka. Saiz kolamnya adalah 16 x 30 kaki dengan kedalaman lebih kurang tiga kaki.

Stok udang galahnya didapatkan dari kolam ternak dan ada juga dari habitat liar terutamanya yang bersaiz jenggo iaitu udang bersaiz kasar dengan sepit biru. Stok udangnya akan dilepaskan ke dalam kolam setiap satu jam.

Kolam dibuka setiap hari pada pukul 9 malam hingga 3 pagi. Bayaran memancing di kolam ini mengikut jam iaitu RM20 untuk satu jam, RM35 (dua jam), RM45 (tiga jam), RM55 (empat jam), RM65 (lima jam) dan RM75 (enam jam).

Harga dan pakej ini mungkin juga akan berubah dari semasa ke semasa.
Menariknya, pemancing juga boleh memesan masakan panas dan minuman yang disediakan di kolam. Udang galah yang dipancing juga boleh dimasak sekali bersama makanan yang dipesan.

Relaks dan santai
Saya tidak memancing dan hanya memerhatikan anak-anak dan abang-abang sepupu mereka melayan sesama sendiri. Pengunjung juga ramai memenuhi setiap ruangan kolam, nampak meriah juga.

Joran teleskopik berpelampung, berperambut dan bermata kail ada disediakan oleh pihak kolam jika pengunjung tidak membawa peralatan sendiri.

Umpan berupa perumpun dan anak ikan guppy turut dijual. Setiap pemancing dibekalkan raga menyimpan udang, kain pengelap tangan dan gunting untuk memotong umpan.

Ada pengunjung yang membawa set peralatan sendiri. Menurut mereka, ia lebih baik kerana jorannya lebih ringan, halus dan sensitif.

Teknikal
Saya selalu ingat pancingan udang galah di dalam kolam simen ini mudah. Sebenarnya tidak, kerana ada teknikalnya yang khusus.

Sebelum pancingan dimulakan, kedalaman kolam akan diukur terlebih dahulu oleh pemancing dengan satu alat khas berupa batang paip yang disediakan oleh pihak kolam.

Tujuannya supaya jarak pelampung ke mata kail boleh dilaraskan agar sama panjang dengan paras permukaan air kolam hingga ke dasarnya.

Ia seharusnya tidak kurang dan tidak lebih, ini boleh diperhatikan dengan kedudukan pelampung yang tegak, bukannya menyenget di permukaan air.

Anak saudara saya, Safwan Arif yang ‘meracun’ untuk memancing udang galah.

Jika tidak dilaraskan dengan betul, getuan udang yang halus sukar diperhatikan di pelampung, sekali gus menyebabkan umpan habis begitu sahaja tanpa sempat disembat udangnya.

Seperkara lagi, udang galah di dalam kolam ini bukan menyusur di tepi kolam.

Sebaliknya, ia banyak berlegar di tengah-tengah kolam berikutan ada reba-reba berupa batu yang sengaja diletakkan oleh pihak kolam untuk udang galah berselindung.

Labuhan umpan
Selepas umpan dipasang ke mata kail, ia akan dilabuhkan ikut suka pemancing itu sendiri, asalkan jangan bersilang dengan tali-tali pemancing lain.

Ada yang membiarkan sahaja umpan di satu tempat sehinggalah ada getuan udang.

Ada pula yang gemar mengalih-alihkan umpannya hinggalah jumpa tempat udang berlonggok.

Ada yang suka mengheret umpan ke sana ke sini sehinggalah terasa ada udang ‘memegang’ umpannya.

Apa yang saya perhatikan setiap kali pelampung tenggelam, pemancing akan perlahan-lahan mengangkat joran sehingga tali tegang. Apabila terasa berat, barulah joran akan disembat lembut untuk menancapkan mata kail ke mulut udang.

Selepas itu, barulah ia akan dilayan, joran yang parabolik itu memainkan peranan menahan asakan udang hinggalah didaratkan.

Banyak juga udang yang terlepas di separuh jalan, mungkin kerana hook-up yang tidak solid di mulutnya.

Memang seronok melihat telatah pemancing pada malam itu.

Bagi saya, ini merupakan satu aktiviti yang sihat kerana pemancing tidak membuang masa membuat perkara sia-sia.

Hasil tangkapan berbaloi dibawa balik sebagai masakan kerana harga udang galah di pasaran juga mahal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN