PETALING JAYA – Seorang wanita warga China terkejut apabila ikan dari sungai melompat keluar ke pangkuannya ketika melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting).
Menerusi video tular di TikTok, kelihatan ketika wanita tersebut berada dalam pelampungnya, ikan bersaiz besar tiba-tiba melompat ke arahnya.
Apa yang pelik adalah ikan tersebut kelihatan tidak berganjak bahkan meronta daripada pelukan wanita itu sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.
Difahamkan, kawasan tersebut adalah di Gunung Dajue di Fuzhou, Jiangxi, China.
Ia merupakan sungai terkenal untuk orang ramai melakukan aktiviti ‘water rafting’ kerana tarikan ikannya yang akan melompat ke arah pelancong berada di dalam bot.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terhibur melihat video tersebut selain ada yang menzahirkan rasa minat untuk melakukan aktiviti berkenaan.
“Sambil menyelam minum air ni. Dekat mana tempat ni, nak pergi. Tak perlu pergi memancing,” komen Tasha.
“Elok pula ikan tu tak bergerak dalam pelukan orang tu. Kelakar betul lah,” komen Kassim.
“Nasib ada wanita ni, kalau tidak ikan tu mesti lemas,” komen Haqiri. – KOSMO! ONLINE