KAJANG – Seorang peserta acara kayuhan yang terjatuh di Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE), di sini disahkan meninggal dunia petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian seorang lelaki di Hospital Ampang pada pukul 2 petang.
Katanya, lelaki berusia 27 tahun itu menyertai acara berkenaan bagi jarak 50 kilometer (km).
“Siasatan mendapati semasa melalui Kilometer 13, Lebuh Raya EKVE, mangsa dipercayai mengalami sesak nafas sebelum terjatuh atas jalan dan tidak sedarkan diri.
“Rawatan awal telah diberikan di lokasi sebelum mangsa dibawa ke Hospital Ampang, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9.45 pagi tadi mendapati punca kematian mangsa adalah ‘pending laboratory analysis’ (menunggu laporan lengkap makmal).
Sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd. Nasyran Ab Wahab di talian 03-90212222. – KOSMO! ONLINE