SEREMBAN – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Rembau di sini trauma apabila menjadi mangsa buli hanya kerana enggan membenarkan remaja itu meniru ketika peperiksaan.
Mohd. Anas Sudin berkata, anaknya pernah membuat aduan mengenai perkara itu kepada guru disiplin, namun remaja tersebut mendakwa dia masih diganggu.
“Pada awalnya dia (anak) tidak mahu bercerita, namun selepas dipaksa beberapa kali dia akhirnya mengaku sering diganggu rakan sekelas sejak tidak benarkan meniru ketika peperiksaan.
“Selain itu, anak beritahu dia diejek dengan perkataan ‘kacip’ sehingga membuatkan dia tidak mahu ke sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam. Difahamkan, perkataan ‘kacip’ itu merujuk kepada khayal.
Mohd. Anas tidak menolak kemungkinan guru tersebut beranggapan kejadian yang berlaku hanya perkara biasa, tetapi ia memberi kesan terhadap emosi anaknya.
“Anak saya jadi tidak bersemangat untuk belajar dan saya sebagai bapa juga terkesan dengan keadaan ini.
“Jadi saya berbincang dengan isteri untuk membuat permohonan memindahkan anak ke sekolah lain, tapi prosesnya agak sukar kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah yang memberi alasan guru besar tiada,” katanya.
Bagi tujuan keselamatan, Mohd. Anas meminta anaknya membuat laporan polis selain bagi mempercepatkan urusan pertukaran sekolah. Beliau bersyukur kerana tidak lama selepas itu permohonan pertukaran sekolah anaknya diluluskan. – KOSMO! ONLINE