KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan kes buli melibatkan anak kepada pelakon Ako Mustapha.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Saya sahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju ada terima laporan polis yang dinyatakan.
“Setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, pelakon Ako Mustapha berang apabila anak lelakinya, Mikael Iskandar yang baru berusia 10 tahun mengalami kecederaan selepas didakwa dibuli di sekolah dipercayai berlaku semalam.
Menurut Ako dalam Threads, anaknya dikatakan dibuli oleh pelajar senior dan rakan sekelas dengan kesan tumbukan serta pijak pada bahagian badan.
Tambah Ako, perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Mikael kepadanya sebelum melaporkan perkara tersebut kepada guru kelas dan pihak berwajib.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat olehnya berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE














