KUALA LUMPUR – Pelakon Nadiya Nisaa menegaskan faktor kekangan masa antara punca dia tidak mempunyai akaun Threads dan tiada kena mengena dengan tanggapan platform tersebut sarat toksik.
Nadiya atau nama lengkapnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin,40, berkata, sejak dahulu lagi dia hanya mempunyai dua akaun media sosial iaitu Instagram dan TikTok yang jarang dikemas kini.
“Ketiadaan saya di aplikasi Threads sama sekali bukan kerana saya menganggap ruang tersebut sebagai sebuah medium maya yang toksik.
“Malah, saya sendiri tidak begitu pasti tentang corak persekitaran semasa di sana, sama ada ia lebih ke arah positif mahupun negatif kerana setakat ini saya tidak menggunakannya.
“Faktor utama hanya kekangan masa. Kalau diperhatikan, akaun Instagram dan TikTok saya pun jarang dikemas kini. Jadi, untuk memikul tanggungjawab menguruskan pelbagai akaun media sosial serentak adalah komitmen besar buat saya ketika ini,” katanya selepas majlis pelancaran drama bersiri Bidadari Tanpa Syurga di sini, semalam.
Selari dengan situasinya yang tidak aktif di dunia maya, Nadiya menegaskan kesemua platform media sosial miliknya dikhususkan untuk urusan kerja termasuk mempromosikan filem, drama atau projek terbaharu.
Pendekatan untuk mengehadkan perkongsian berunsur peribadi pula katanya dipengaruhi satu insiden ketika awal pembabitannya dalam bidang seni.
“Sebenarnya ada satu kejadian seorang individu secara melulu mendukung anak lelaki saya di sebuah pasaraya. Ia berlaku secara tiba-tiba hingga saya tidak mampu berbuat apa-apa sewaktu saya menolak troli barangan dapur.
“Walaupun dia sekadar berniat untuk beramah mesra tetapi perbuatan menyentuh anak saya tanpa kebenaran itu agak mengejutkan.
“Mungkin itu antara faktor saya jarang berkongsi kehidupan harian terutama anak-anak. Suami saya pula seorang yang introvert, jadinya tiada keperluan untuk kami memuat naik gambar keluarga di media sosial,” ujarnya.
Pada masa sama, mengenai dakwaan produksi hanya memilih pelakon yang mempunyai ramai pengikut, Nadiya percaya masih ada penerbit melihat kualiti kerja bersandarkan tawaran lakonan yang diterimanya.
“Saya tidaklah seperti artis lain yang setiap hari memuat naik konten berkaitan hal karier seni. Boleh dikatakan perkongsian saya pun sekitar sebulan sekali sahaja.
“Ramai kawan baik pun ada menegur dan bergurau nak tunggu saya kongsi gambar dalam Instagram atau TikTok pun mungkin lagi lapan bulan.
“Apa pun semuanya berbalik kepada rezeki. Tak semestinya kena ada pengikut yang ramai. Tapi saya tiada masalah pun nak promosikan produk saya dalam media sosial, saya ikut bersandarkan kontrak lakonan,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai naskhah terbaharunya, Bidadari Tanpa Syurga, Nadiya yang juga antara pelakon drama bersiri terbitan Viu Original mengakui berdebar menanti maklum balas penonton.
“Watak Farhah lakonan saya mewakili ramai isteri yang berdepan situasi rumah tangga serta sikap suami yang lebih mengutamakan kerjaya serta orang luar.
“Ini juga gandingan pertama saya dengan Aaron selepas drama Adam & Hawa sekitar sedekad lalu. Banyak plot yang mungkin membuatkan penonton tak senang duduk,” ulasnya.
Menemui peminat bermula hari ini, drama bersiri 12 episod arahan Jamal Khan itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syad Mutalib, Lorenzo Irmann, Idzham Ismail dan Shahronizam Noor. – KOSMO! ONLINE














