PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan kempen Sambutan 100 Tahun Cameron Highlands bersempena meraikan warisan tanah tinggi itu serta memperkenalkan fasa terbaharu projek ikonik Cameron Centrum, Centrum Iris.
Kempen yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2025 itu menawarkan pembeli Centrum Iris yang layak berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM100,000.
LBS dalam kenyataan berkata, antara hadiah utama termasuk percutian tujuh hari ke United Kingdom untuk dua orang, percutian mewah di tanah tinggi, peralatan elektrik, baucar membeli-belah dan pelbagai barangan menarik.
Tambah kenyataan itu, seramai 35 pemenang akan diumumkan pada Februari 2026.
LBS memberitahu, bagi memudahkan pembeli di Lembah Klang, pihaknya membuka Galeri Jualan Satelit di Aras Bawah, LBS2, Petaling Jaya yang menampilkan model berskala, susun atur unit serta sesi rundingan eksklusif bersama wakil jualan.
“Centrum Iris merupakan projek pertama di kawasan ini yang menerima pensijilan Silver GreenRE, sekali gus menggalakkan gaya hidup lestari menerusi kemudahan seperti kawasan pengecasan kenderaan elektrik (EV), kafe atas bumbung serta 47 kemudahan gaya hidup.
“Terletak strategik di pusat pelancongan dan komersial di Brinchang, projek ini menawarkan pengalaman gaya hidup yang selesa dengan kemudahan akses yang baik,” jelas LBS.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, Centrum Iris bukan sekadar pembangunan hartanah, ia melambangkan usaha LBS memperkenalkan gaya hidup baharu di seluruh negara.
“Selaras dengan visi strategik 8 x 8 kami, galeri jualan satelit ini membawa suasana tanah tinggi lebih dekat kepada warga kota, merapatkan jarak dan membuka lebih banyak peluang.
“Hasrat Kumpulan adalah untuk memudahkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri dengan efektif, sekali gus mengukuhkan kehadiran LBS di kawasan-kawasan yang sedang pesat membangun,” katanya.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM472 juta, Centrum Iris merupakan pembangunan komersial terbesar di Cameron Highlands.
Berinspirasikan seni bina klasik Inggeris, ia menawarkan 705 unit kediaman dan 26 unit komersial, sesuai untuk kediaman mahupun pelaburan. – KOSMO! ONLINE














