SEBAIK sahaja alunan rebab bergema, suasana tradisional Melayu mula menyelubungi persembahan mak yong.
Gerak tari yang lemah gemalai dipersembahkan dengan penuh sopan dan tertib, seiring dengan nyanyian serta lakonan yang menghidupkan jalan cerita.
Setiap langkah dan lenggok tangan mempunyai maksud tersendiri, menggambarkan kelembutan budaya Melayu lama.
Keindahan seni warisan ini dipersembahkan di Balai Gema Hikayat, sebuah galeri mini di pusat komuniti GMBB, Kuala Lumpur.
Ia juga sebagai penghormatan khas kepada Allahyarham Khatijah Awang, antara tokoh mak yong paling disegani di negara ini.
Lebih mengharukan apabila anak beliau, Che Su Norhayati Zakaria turut hadir memeriahkan persembahan serta bengkel yang dikendalikan oleh Mat Rebab dan Hani Mohd.
Berkongsi dengan CitaRasa, Che Su Norhayati berkata, beberapa perubahan telah dilakukan dalam persembahan mak yong sebagai usaha mengekalkan warisan budaya Melayu agar terus diterima dan relevan mengikut peredaran zaman.
“Persembahan mak yong secara tradisinya didominasi oleh pelakon wanita, manakala lelaki lebih banyak memainkan peranan sebagai pemuzik dan watak sokongan.
“Pada masa kini, mak yong dipersembahkan oleh pelakon lelaki dan wanita dengan penglibatan yang lebih inklusif berbanding dahulu.
“Selain itu, pakaian wanita juga lebih sopan dan menutup aurat sebagai usaha menyesuaikan diri dengan keperluan semasa,” katanya.
Untuk pengetahuan, pameran Balai Gema Hikayat mengetengahkan warisan seni tradisional Melayu seperti mak yong, mek mulung dan wayang kulit.
Balai Gema Hikayat disusun dengan lima komponen utama yang membantu pengunjung memahami dunia hikayat dan seni tradisi secara lebih tersusun.

Komponen pertama ialah Gema Hikayat: Tari dan Bunyi-Bunyian yang menampilkan video Gema Hikayat serta elemen bunyi dan gerak sebagai pintu masuk kepada suasana warisan lisan.
Komponen kedua ialah Bayang yang Bercerita yang memberi tumpuan kepada wayang kulit, sejarah, artifak serta ikon penting seperti Pak Hamzah, Che Nasir Yusuf dan Mukhti Mohd. Rais.
Komponen ketiga ialah Kosmos Mak Yong yang mengetengahkan sejarah, kostum dan tokoh-tokoh penting seperti Khatijah Awang, Fatimah Abdullah dan Rosnan Rahman. Pengunjung dapat melihat bagaimana mak yong bergerak sebagai sebuah dunia seni yang lengkap, bukan sekadar persembahan pentas.
Komponen keempat ialah Dari Desa ke Legenda, yang memberi tumpuan kepada mek mulung, sejarah dan alat muzik tradisional, termasuk ikon seperti Pak Saad dan Zamzuriah Zahari.
Komponen kelima ialah Ruang Hikayat, yang memberi fokus kepada generasi seterusnya, persembahan interaktif dan mikrofon awam.
Bahagian ini sangat penting kerana warisan tidak boleh hanya hidup dalam buku atau arkib. Ia perlu diberi ruang untuk disebut, dinyanyikan, diceritakan dan diwariskan semula.
Menurut penganjur program, Ninot Aziz, sepatutnya ada satu tempat di Malaysia yang mempersembahkan seni tradisi tersebut setiap malam.
“Saya berpendapat pihak berkaitan seharusnya mewujudkan satu tempat khas supaya seni tradisi ini boleh dinikmati orang awam setiap malam.
“Dengan itu, pelancong dari luar negara serta masyarakat tempatan boleh saksikan warisan budaya negara ini termasuk mak yong yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.














