fbpx
Tangkap layar menunjukkan seorang remaja lelaki meluahkan penyesalannya kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis pil kuda.

Laju panjat pokok kelapa lepas telan pil merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – “Pil itu berwarna merah, lepas hisap rasa bertenaga dan rajin (bersemangat) nak kerja panjat pokok kelapa.”

Demikian pengakuan seorang remaja lelaki yang juga penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu se­lepas terjebak dalam aktiviti penagihan dadah iaitu pil kuda.

Remaja itu mendedahkan, dia mula mengenali pil kuda selepas melihat abangnya yang berusia 19 tahun mengambil bahan terlarang tersebut.

“Abang sulung saya pun hisap (dadah) juga. Pil itu berwarna merah, bulat dan tertera huruf WY. Lepas hisap, rasa bertenaga, rasa rajin nak kerja panjat pokok kelapa,” katanya menerusi perkongsian video di TikTok Puspen Kota Bharu baru-baru ini.

Anak ketiga daripada enam beradik itu mengakui dia sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai pemanjat pokok kelapa.

Remaja itu mengaku dia benar-benar menyesal atas perbuatannya dan rindu untuk kembali ke pangkuan keluarga.

“Saya berjanji tak mahu ambil pil kuda lagi. Duduk sini (Puspen) elok-elok, saya rindu emak, ayah dan adik-adik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi remaja dikenali sebagai Hanif tidak menyangka pelawaan abangnya untuk mencuba pil kuda berharga RM15 secara suka-suka pada awal tahun ini menjerat diri sehingga menyebabkan gian.

Hanif, 18, berkata, dia mengambil bahan terlarang itu sebanyak dua kali seminggu. Abangnya yang berusia 22 tahun mengajaknya untuk mencuba pil kuda secara suka-suka kerana ia mudah diperoleh daripada kawan-kawan.

“Abang beritahu pil berwarna merah ini boleh membuatkan kita rajin bekerja. Ketika itu saya baru tamat sekolah dan kerap melihat abang mengambil pil kuda, jadi saya terpengaruh.

“Apabila pertama kali mencuba, saya tak dapat kawal pe­rasaan dan terlalu bergantung dengan dadah tersebut.

“Selepas tamat sekolah, saya bekerja sebagai buruh dan berniaga di pasar malam. Walaupun pendapatan kecil, saya tetap akan beli pil kuda,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Hanif berkata, dua biji pil kuda yang dibeli pada harga RM15 itu bertahan selama seminggu. Katanya, keinginannya untuk mencuba dadah tersebut semakin kuat apabila melihat abangnya semakin rajin bekerja.

“Saya hanya sempat mengambil pil kuda selama sebulan sebelum diberkas polis dalam dalam serbuan baru-baru ini. Saya kemudiannya diarah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat selama setahun kerana masih di bawah umur,” ujarnya.

Biarpun ditahan, remaja itu bersyukur sekurang-kurang dia tidak terus hanyut dalam aktiviti penagihan dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN