PETALING JAYA – Gara-gara ketagih dadah, seorang pemuda dari Machang, Kelantan sanggup mencuri wang milik neneknya dua tahun lalu untuk membeli bahan terlarang tersebut.
Ridhuan (bukan nama sebenar), 18, berkata, dia tinggal bersama warga emas itu selepas kedua-dua ibu bapanya bercerai tiga tahun lalu.
Disebabkan itu, bekas pelajar kolej vokasional tersebut berjinak-jinak mencuba pil kuda bersama sepupu dan kenalannya.
“Nenek menjaga saya dengan baik, tetapi saya sanggup mencuri duit tabung hasil pendapatan menoreh getah semata-mata untuk membeli pil kuda bagi menghilangkan gian.
“Setiap hari saya akan ambil (curi) RM30 hingga RM50 wang kertas yang ada dalam tabung tin biskut yang disembunyikan nenek. Saya tak sangka nenek tahu duitnya makin menyusut. Dia kecewa dengan (perbuatan) saya.
“Nenek buat laporan polis menyebabkan saya ditangkap dan dihantar ke Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) Kota Bharu selama setahun,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dengan najis itu, Ridhuan berkata, tekanan dipisahkan ibu bapa dengan dua lagi adik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk mencuba bahan terlarang tersebut.
“Pada awalnya saya tengok sepupu (hisap dadah), selepas itu saya cuba sendiri.
“Pil itu buat saya jadi cergas selain dapat melupakan kisah yang berlaku terhadap diri saya dan keluarga, tetapi selepas terjebak, dah tak boleh ‘putus’ barang (pil kuda),” katanya.
Tambahnya, pil kuda menjadi pilihan remaja di Pantai Timur kerana harganya yang makin murah selain mudah disimpan disebabkan saiz yang kecil.















