LUMUT – Pantai Teluk Senangin di Segari dekat sini disifatkan sebagai ‘lubuk’ ubur-ubur dan sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti renang.
Seorang penduduk berhampiran, Mohd. Razak Yatim, 46, berkata, dia tidak pernah mandi di pantai itu kerana menyedari risiko disengat ubur-ubur.
“Jadi kalau kami ke pantai ini sekali pun sekadar untuk mengambil angin.
“Sesiapa yang nak berenang dipersilakan kerana tiada halangan,” katanya kepada Kosmo!.
Kosmo! kelmarin melaporkan lebih 30 peserta Teluk Senangin Open Water Swim 2025 menjadi mangsa sengatan ubur-ubur ketika acara itu berlangsung.
Beberapa pengunjung lain turut berkongsi pengalaman mereka disengat ubur-ubur ketika mengunjungi pantai tersebut.
Bagi Aini Yassin, 42, pula, dia yang mengunjungi pantai itu bersama ahli keluarganya dari Taiping juga telah lama tidak mandi-manda atas beberapa faktor selain serangan ubur-ubur.
Ini kerana katanya, situasi ombak yang kuat di pantai berkenaan menyebabkan dia dan keluarganya berpandangan ia tidak sesuai bagi aktiviti berenang, apatah lagi mandi-manda.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Manjung, Kapten (PA) Norazlan Turiman berkata, lazimnya ubur-ubur akan berada berhampiran pantai disebabkan oleh beberapa faktor.
Menurutnya, antaranya ubur-ubur akan mengikut arus laut iaitu menghala ke pantai, selain pengaruh angin yang banyak bertiup ke arah pantai.















