fbpx
MARC SYAHMIE selesa menggunakan telefon pintar iPhone.

Marc Syahmie miliki gajet selepas usia 18 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM berusia 18 tahun, selebriti ini mengakui bahawa dia tidak dibenarkan untuk memiliki telefon pintar oleh ibu bapanya.

Selepas melanjutkan pengajian, barulah dia memiliki gajet sendiri kerana keperluan untuk berkomunikasi dengan rakan dan pensyarah bagi urusan pembelajaran.

Itulah sebahagian kisah menarik yang dikongsikan oleh pelakon dan model baharu, Marc Syahmie, 26, mengenai penggunaan dan pengaruh gajet dalam perjalanan karier serta kehidupannya.

“Gajet pertama yang saya miliki adalah ketika umur 18 tahun. Emak dan ayah tak benarkan saya guna telefon sehingga habis sekolah.

“Sebelum itu, ketika berusia 17 tahun, saya hanya meminjam telefon milik orang lain apabila perlu.

“Telefon pintar pertama yang saya miliki adalah pada tahun 2018, itu pun bagi tujuan pembelajaran dan mendapatkan informasi.

“Ketika itu, aplikasi seperti WhatsApp sudah menjadi keperluan untuk komunikasi dan penyebaran maklumat,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.

Tambah pelakon drama Di Sebalik Reda itu, ibunya membelikan telefon kepadanya kerana menyedari kepentingan gajet itu dalam pembelajaran.

Kongsinya, telefon pintar telah berjaya memudahkan pelbagai urusan hariannya.

“Saya paling suka apabila dapat berkongsi momen di sekolah dan tunjuk pada orang, meskipun pada awalnya saya tidak begitu mahir menggunakan telefon.

“Selepas itu saya mula belajar, sebelum disarankan untuk membuka akaun Instagram.

“Gajet yang paling saya gemar adalah telefon pintar, dan ketika ini saya menggunakan telefon jenama iPhone.

MARC SYAHMIE aktif dalam platform Instagram.

“Setiap hari, saya guna gajet ini untuk mengakses informasi terkini, mendapatkan bahan kerja dan pembelajaran, menangkap gambar, selain menghasilkan kandungan digital,” ujarnya yang kerap menggunakan aplikasi WhatsApp serta Instagram.

Walaupun mengakui dirinya tidak terlalu mengikuti trend terkini secara aktif, namun Marc Syahmie tetap menyedari kepentingan media sosial dalam dunia hiburan.

Katanya, dia berniat untuk menjadi lebih aktif kerana seseorang selebriti itu perlu memanfaatkan media sosial untuk berhubung dengan peminat.

“Saya hadkan diri supaya tak terlalu bergantung pada gajet. Saya memberi keseimbangan dalam penggunaan gajet supaya tidak hanyut dalam dunia maya sepenuhnya.

“Gajet dan selebriti saling memerlukan dalam era digital ini, malah sekarang semua perkembangan perlu dikongsi di media sosial.

“TikTok dan Instagram merupakan platform penting kerana di situlah orang menilai populariti seseorang iaitu melalui jumlah pengikut,” kongsinya.

Marc Syahmie turut menekankan bahawa setiap selebriti perlu menggunakan media digital untuk memastikan masyarakat tahu apa yang mereka lakukan.

Tambahnya, penggunaan gajet juga banyak membantunya dalam kerjaya seni kerana ramai peminat mengenalinya menerusi Instagram.

“Apabila saya aktif, orang tahu saya berlakon, modeling, dan dari situ tawaran datang kerana biasanya populariti di media sosial menjadi ukuran.

“Engagement (hubungan) di media sosial kini menjadi kayu ukur penting dalam industri hiburan. Malah, ia boleh menentukan peluang pekerjaan seperti kempen dan projek lakonan,” katanya.

Secara keseluruhan, Marc Syahmie percaya bahawa gajet adalah alat penting bukan sahaja untuk komunikasi dan kerja, malah membina imej serta pengaruh dalam industri hiburan.

“Gajet terkini dengan spesifikasi canggih seperti kamera berkualiti tinggi menjadikan setiap kandungan lebih menarik. Ia merupakan satu keperluan mutlak dalam dunia selebriti hari ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN