SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang melupuskan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta, hasil rampasan dalam operasi khas sepanjang 14 tahun lalu.
Dadah seberat lebih 120 kilogram itu dimusnahkan di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang melibatkan 5,265 kertas siasatan dari tahun 2010 hingga 2024.
Menurut Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, sekiranya semua bahan terlarang terbabit sempat diseludup ke pasaran gelap, ia mampu memenuhi keperluan hampir 1.4 juta penagih.
“Antara dadah yang dilupuskan termasuk heroin dan monoacetylmorphine (19,750g), kanabis (53,575.9g), ketamin (2,873.9g), methamphetamine (42,614.6g), serta pelbagai pil psikotropik seberat 2,087.1g,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas beliau lagi, proses pelupusan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama Kualiti Alam Sdn. Bhd. mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar menggunakan teknologi khas di lokasi pelupusan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut katanya, seramai 14,146 individu telah ditahan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini atas pelbagai kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sebanyak 4,498 kes melibatkan pengedaran dan pemilikan dadah dengan 92.71 peratus daripadanya (4,170 kes) telah berjaya dituduh di mahkamah,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE