KUANTAN – Dua buah helikopter digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong warga Turkiye yang masih hilang selepas kapal layar karam di perairan Pulau Yu, Terengganu, dengan kawasan pencarian kini diperluaskan sehingga 305 batu nautika persegi.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, operasi itu melibatkan dua aset laut dan dua aset udara setakat ini.
“Aset laut terdiri daripada KM Sebatik dan Bot Penggalang 45, manakala aset udara melibatkan helikopter Dauphin milik Maritim Malaysia serta helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan membantu pencarian petang ini,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Madani Maritim Malaysia di Dataran Pantai Sungai Ular, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, 29 Julai lalu, sebuah kapal layar dalam pelayaran dari Pulau Tioman ke Pattani, Thailand karam berhampiran perairan Pulau Yu, kira-kira 30 batu nautika dari Pulau Redang akibat cuaca buruk dan laut bergelora.
Kapal tersebut membawa tiga individu, masing-masing kapten kapal dan dua pelancong lelaki, kesemuanya warga Turkiye.
Setakat ini, dua mangsa ditemui selamat iaitu Ates Demiroren, 42, yang diselamatkan kira-kira 25 jam selepas kejadian, serta kapten kapal, Ahmet Volkan Ata, 52, yang dijumpai nelayan tempatan selepas 43 jam terapung di laut. Seorang lagi mangsa, Eser Demirkol, 52, masih belum ditemui dan pencarian giat diteruskan.
Menurut Mohd. Rosli, kawasan pencarian dijangka terus diperluas sekiranya mangsa masih belum ditemui, dengan mengambil kira faktor cuaca dan perkembangan semasa. – KOSMO! ONLINE