KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita warga India untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini hancur berkecai apabila dia dipaksa menjadi pelacur di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.
Nasib malang dialami wanita berusia 39 tahun itu berakhir apabila diselamatkan sepasukan polis Bahagian D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semalam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, hasil soal siasat mendapati mangsa tiba di Malaysia pada 11 Julai lalu dari Tiruchi, India dan dijanjikan kerja sebagai pembantu rumah.
“Mangsa telah dibawa ke sebuah hotel di Jalan Ampang sebelum dikurung di dalam sebuah bilik hotel.
“Mangsa juga mendakwa dia telah dipukul dan dipaksa untuk melibatkan diri dalam kegiatan pelacuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 41 tahun yang mengaku menguruskan kegiatan persundalan bersama rakannya.
Ujarnya, mangsa ditawarkan bayaran sebanyak RM50 sehingga RM80 untuk sekali perkhidmatan seks.
“Polis turut menahan tujuh lelaki dan lima wanita warga India berusia 21 hingga 43 tahun di lokasi terbabit dalam serbuan bermula pukul 8.30 malam. Mereka yang ditahan terdiri pelacur, ulat pelacuran, penjaga kaunter dan pelanggan,” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menggunakan tawar-menawar di kaki lima hotel dan menyasarkan pelanggan warga asing seperti Bangladesh, Nepal dan India.
Katanya, jika pelanggan bersetuju, mereka akan dibawa ke hotel untuk memilih pelacur yang dipandu arah oleh penjaga premis.
“Polis juga merampas kondom, buku catitan pelanggan, tisu dan wang tunai berjumlah RM267,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372B KK, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 ATIPSOM 2007. – KOSMO! ONLINE