JIKA sebelum ini sebuah komputer riba dan sambungan Wi-Fi yang stabil sudah memadai untuk seorang pelajar menimba ilmu secara dalam talian, landskap pendidikan kini berubah secara drastik.
Tugasan, kuliah, perbincangan kelas dan pelbagai peringatan akademik kini berlangsung merentasi pelbagai platform digital.
Meskipun teknologi bertujuan memudahkan proses pembelajaran, penggunaan berlebihan alat dan aplikasi sebaliknya boleh menimbulkan tekanan mental dalam kalangan pelajar.
Fenomena ini dikenali sebagai ‘teknologi berlebihan’ dan ia semakin ketara dalam kalangan pelajar universiti yang perlu beralih antara pelbagai peranti dan sistem digital dalam tempoh sehari.
Berdasarkan satu kajian ketika pandemik Covid-19, sebanyak 88.2 peratus pelajar dilaporkan bergantung kepada gabungan komputer riba, telefon pintar untuk menyokong pengajian mereka.
Menurut Pensyarah Kanan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, Dr. Nur Syazwani Ahmad, meskipun angka kelihatan positif, ramai penuntut sebenarnya berdepan kekeliruan, tekanan dan keletihan mental.
“Seorang pelajar pernah beritahu dia mula letih walaupun belum memulakan kerja sebenar. Ini merujuk kepada jumlah notifikasi dan tugasan yang perlu disemak dan dilaksanakan setiap hari.
“Dari membaca bahan di satu aplikasi, menghantar tugasan melalui sistem lain, sehinggalah menyertai kumpulan perbincangan di pelbagai platform. Ini semuanya menuntut perhatian serentak,” katanya.
Penggunaan teknologi dalam pendidikan seharusnya membuka ruang pembelajaran baharu, memberikan akses fleksibel kepada bahan, membolehkan kerjasama jarak jauh dan menjadikan pengajaran lebih interaktif.
Namun kini, pelajar terpaksa berurusan dengan terlalu banyak aplikasi berbeza seperti untuk nota, kuiz, e-mel dan sistem penilaian, sekali gus menyukarkan pengurusan masa dan tumpuan.
Lebih membimbangkan, keletihan digital tidak berakhir selepas waktu kuliah tetapi kehidupan peribadi.
Daripada menonton kandungan pendidikan hingga membuat pesanan makanan, telefon pintar mereka jarang dimatikan. Keadaan ini mengaburkan sempadan antara masa belajar dan masa rehat.
Nur Syazwani menegaskan bahawa kehadiran digital tidak harus disamakan dengan produktiviti.
Ini kerana apabila pelajar terlalu sibuk menguruskan sistem, notifikasi dan tugasan digital, mereka mula hilang fokus terhadap tujuan sebenar pembelajaran.
“Pelajar tetap menyiapkan tugasan mereka, bukan kerana ia membantu, tetapi kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.
Oleh itu, Nur Syazwani menyarankan agar menggunakan teknologi secara lebih terancang dan berfokus.
Katanya, pendidikan masa kini memerlukan kesederhanaan dalam sistem, niat yang jelas serta hubungan manusia yang kekal sebagai teras pembelajaran.
“Teknologi seharusnya menjadi pemudah cara, bukan tekanan harian. Hanya dengan pendekatan yang seimbang dan berperikemanusiaan, pendidikan digital dapat berkembang selari dengan keperluan pelajar.
“Jika tidak, ia hanya akan menjadi satu lagi cabaran yang membebankan minda dan emosi mereka,” katanya.














