MELAKA – Seorang pensyarah sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada Jun lalu.
Tertuduh, Mohd. Shahrizan Othman, 44, yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Lelaki itu didakwa memberikan diri sendiri kedua-dua dadah itu pada pukul 5.20 petang, 19 Jun lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah di sini.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek berkata, anak guamnya merupakan pensyarah sebuah universiti awam di Melaka dengan pendapatan RM7,000, namun lelaki itu sedang direhatkan susulan kes dihadapinya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE