TOKYO – Berjuta-juta orang diarah berpindah selepas gempa bumi paling kuat dalam tempoh satu generasi menggegarkan Russia.
Kekalutan berlaku selepas gempa bermagnitud lebih 8.0 itu melanda dekat Semenanjung Kamchatka, rantau timur jauh Russia.
Bencana itu mendorong pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada penduduk di sepanjang pantai Lautan Pasifik, dari Hokkaido hingga ke Kyushu, supaya waspada ancaman tsunami.
Kerajaan Jepun turut mengarahkan 1.9 juta orang berpindah selepas beberapa gegaran susulan sekuat 6.9 magnitud direkodkan.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, gempa itu berlaku pukul 8.25 pagi (waktu tempatan) dan mencatatkan magnitud awal 8.7.
Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berpusat pada kedalaman 19.3 kilometer.
Tsunami setinggi 60 sentimeter (sm) tiba di bandar Hamanaka, Hokkaido dan pelabuhan Kuji di Iwate.
Ia meningkat daripada ombak tsunami sebelumnya, setinggi 40 sm, demikian menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA)
Tsunami setinggi 20 sm pula dikesan di Teluk Tokyo.
Pegawai JMA, Shiji Kiyomoto berkata, gelombang tsunami kedua atau ketiga telah tiba.
Kiyomoto tidak menyatakan bila amaran tsunami akan ditarik balik. Katanya, ombak besar mungkin bertahan untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari dan menggesa penduduk tinggal di tempat selamat.
Sementara itu komuniti kecil Bandar Crescent di California Utara membunyikan siren tsunami untuk memberi amaran kepada penduduk tentang kemungkinan ombak besar melanda.
“Anda mendengar siren tsunami. Kita berada di bawah amaran tsunami. Sila jauhi pantai dan laluan air.
“Kami sedang menunggu maklumat tambahan mengenai sebarang arahan berpindah,” demikian menurut kenyataan akaun Facebook rasmi Bandar Crescent. – AGENSI