fbpx
Sulizmie Affendy (tengah) ketika menunjukkan matawang asing yang dirampas daripada kesemua suspek ditahan baru-baru ini. Foto IPD DANG WANGI.

Geng ‘magic’ curi duit pelancong di KL tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taktik licik lima warga asing yang menjalankan kegiatan mencuri duit pelancong dengan menggunakan kaedah ‘magic’ di sekitar ibu negara tumpas selepas mereka ditahan polis baru-baru ini.

Modus operandi yang digunakan suspek adalah meminta pelancong menunjukkan mata wang asing sebelum mengambilnya tanpa disedari mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada pelancong pada pukul 6.30 petang, 18 Julai lalu.

Katanya, mangsa didatangi satu pasangan warga asing yang meminta untuk merakam gambar di sekitar Masjid Negara sebelum diminta menunjuk mata wang asing.

“Dalam keadaan tanpa sedar, mangsa mendapati wang di dalam begnya berkurangan AS$600 (RM2,358.60),” katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Dalam kes berlainan, polis menerima laporan daripada seorang pelancong yang mengadu didatangi empat lelaki asing meminta untuk menunjukkan mata wang asing miliknya di Jalan Bukit Bintang.

Dalam keadaan tidak sedar, mangsa mendapati wang di dalam begnya berkurangan sebanyak AS$500(RM2,115.50) dan RM650.

Bertindak atas maklumat polis memberkas empat lelaki dan seorang wanita asing berusia 20 hingga 50 tahun di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail di sini pada 22 dan 25 Julai lalu.

“Kita merampas pelbagai mata wang asing yang dijumpai dalam beg milik suspek berjumlah RM17,361.30.

“Siasatan mendapati dua hingga empat suspek akan mendekati mangsa dan meminta untuk melihat mata wang. Dalam masa sama, rakan mereka akan ‘meninjau’ beg mangsa untuk melarikan barangan berharga.

“Satu lagi kepakaran mereka ketika pegang wang, dia (suspek) boleh lipat dan ambil tanpa sedar. Saya percaya suspek tidak menggunakan teknik pukau, tetapi mereka buat mangsa leka,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek menyewa di hotel bajet atau kediaman di luar Kuala Lumpur dan sering berpindah-randah.

“Mereka dipercayai masuk ke Malaysia dari Bukit Kayu Hitam, Kedah sejak September lalu dan tiada dokumen pengenalan diri. Mereka melakukan kegiatan itu demi kelangsungan hidup di ibu kota.

“Suspek menyasarkan pelancong di Petaling Street, Bukit Bintang dan beberapa kawasan tumpuan di ibu kota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI