TEMERLOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman tiga pegawai kanan polis termasuk seorang yang sudah bersara kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM110,000.
Rasuah berkenaan sebagai balasan tidak mengganggu dan melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum sekitar negeri Pahang.
Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos depan terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Tan Chiew King selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan kira-kira pukul 8.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh.
“Siasatan awal telah menahan empat suspek dan mendapati kesemuanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2024.
“Salah seorang suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan antara kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya yang kemudiannya diagihkan kepada tiga lagi suspek ke akaun bank peribadi masing-masing,”katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Katanya, seorang lagi suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM.