KUALA LUMPUR – Hanya dua terjunan sempat dilakukan gandingan Datuk Pandelela Rinong-Lee Yiat Qing sebelum menarik diri daripada meneruskan aksi saringan acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025.
Pada aksi yang berlangsung di Singapura sebentar tadi, kedua-dua atlet itu tidak meneruskan saingan apabila kecederaan lama yang dialami Pandelela kembali berulang sehingga menyebabkan dia sukar melakukan terjunan.
Atlet berusia 32 tahun itu mendedahkan, kecederaan bahu itu kembali melanda ketika sedang melakukan latihan dengan darjah kesukaran tinggi sebelum peringkat saringan bermula.
“Saya ingin memaklumkan mengenai keputusan untuk menarik diri daripada acara 10m platform seirama yang berlangsung hari ini. Saya ada mengalami kecederaan bahu kiri awal bulan ini tetapi masih boleh diuruskan dengan fisioterapi.
“Hari ini ketika memanaskan badan sebelum acara berlangsung, kecederaan bahu itu kembali ketika cuba melakukan terjunan dengan darjah kesukaran yang tinggi,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Instagram.
Justeru, Pandelela menjelaskan, mereka terpaksa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan saingan sebagai langkah keselamatan selain berterima kasih atas sokongan yang diberikan.
Sementara itu, gandingan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie turut kempunan melangkah ke final dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki apabila sekadar menamatkan aksi saingan di tempat ke-21. – KOSMO! ONLINE