fbpx
MOHD. JAFNI.

Cuci kenderaan Singapura sahaja, PBT diarah tarik lesen pusat mencuci kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pusat mencuci kereta yang hanya membenarkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sahaja untuk menggunakan servis itu berdepan risiko penutupan operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, peniaga tidak boleh menafikan hak penduduk tempatan dan hanya sekadar mengejar keuntungan semata-mata.

Justeru, katanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk membatalkan lesen perniagaan bagi mana-mana premis yang menganaktirikan pelanggan tempatan.

Menurutnya, peniaga tidak sepatutnya mengehadkan perkhidmatan mereka kepada warga Singapura sahaja yang sanggup membayar lebih terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Saya beri amaran kepada mana-mana peniaga yang membuat ketetapan seperti itu, jangan fikir nak untung sahaja, perlu ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

“Jika mereka berterusan dengan meletakkan syarat seperti ini, PBT tidak teragak-agak untuk ambil tindakan atau menarik lesen perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Ekspo Hartanah Johor di Angsana Mall Johor Bahru, di sini hari ini.

Semalam, portal berita melaporkan seorang lelaki terkejut apabila pusat mencuci kenderaan di Johor Bahru mengutamakan kenderaan dari Singapura.

Premis yang dijaga pekerja asing itu menolak permintaan pelanggan untuk mencuci kenderaan di situ dan hanya menerima kenderaan Singapura sahaja.

Salah seorang warganet mendakwa perkara itu bukan isu baharu setelah pelanggan Singapura membuat pembayaran menggunakan Singapura Dollar (SGD) yang menguntungkan peniaga.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI