SHAH ALAM – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii memaklumkan, kutipan sumbangan bagi Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dilaksanakan sejak 2021 telah mencecah RM2.1 juta setakat ini.
Menurutnya, kerajaan komited melaksanakan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya 2021-2030 termasuk meningkatkan kerjasama dengan rakan strategi meliputi sumbangan tanggungjawab sosial, kutipan hasil jualan tiket perlawanan bola sepak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penglibatan belia dalam program Rakan Muda menerusi kempen itu.
“Setakat ini, FAM menyumbang kira-kira RM200,000 kepada Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya melalui hasil jualan tiket perlawanan bola sepak,” katanya ketika membacakan ucapan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini petang ini.
Tiong Sii berkata, Survei Harimau Kebangsaan Pertama mendapati jumlah Harimau Malaya dianggarkan kurang 150 ekor di negara ini dan akan hilang jika tiada tindakan drastik dilaksanakan, maka Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 bersetuju melaksanakan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi harimau itu
bermula 2021 hingga 2030.
“Perkembangan ini memberi petunjuk positif terhadap usaha yang dilaksanakan termasuk pemuliharaan habitat melalui skim akreditasi dan pengiktirafan kawasan berkepentingan antarabangsa. Selain Taman Negeri Diraja Perak yang menerima akreditasi ‘Conservation Assured Tiger Standards’ 2023, Malaysia sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan itu bagi Taman Negara Pahang, Terengganu, Kelantan dan Endau Rompin,” katanya. – KOSMO! ONLINE