fbpx
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang petang tadi. Foto JBPM

Tanah runtuh di Ampang: Penghuni diarah keluar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Penduduk sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih di sini, diarahkan keluar selepas berlaku runtuhan tanah berhampiran kediaman mereka petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.17 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira empat meter dari kawasan rumah terbabit.

“Kesemua penghuni rumah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan dan anggota turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada sebarang kemerbahayaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pihak bomba turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak majlis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari turun padang meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, Hasrolnizam bergegas ke lokasi kira-kira pukul 6 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau keadaan semasa di kawasan kejadian.

“Skuad Pantas MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.

Ujarnya, orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad Pantas MPAJ di talian 03-4285 7333. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN