KAJANG – Seorang penghantar barang yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes kehilangan dompet di Semenyih dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bagaimanapun pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Mengulas sama ada wang tunai RM10,000 yang didakwa hilang itu sudah ditemui, Naazron berkata, perkembangan lanjut mengenai perkara berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Sebelum ini, Naazron dilaporkan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan pada pukul 1 pagi, 18 Jun lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan dompet di sebuah pasar raya, di Semenyih.
Suspek pada mulanya direman empat hari sebelum tempoh remannya disambung sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.
Bagaimanapun, dompet tersebut kemudiannya diserahkan semula oleh seorang lelaki, namun timbul pertikaian apabila wanita berkenaan mendakwa wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalam dompet itu telah hilang.
Dalam video tular itu, lelaki terbabit menafikan mengambil wang berkenaan dan mendakwa hadir bagi memulangkan dompet yang ditemuinya. – KOSMO! ONLINE














