KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki tempatan termasuk seorang juvenil yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan di Jinjang Utara pada 13 Jun lalu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka ialah T. Kavilan, 25; Wong Kui Yoong, 51; Leow Mun Yee, 33; Leong Chun Kit, 26; Yam Kit Lun, 21; Lim Zhen Huang, 31; Tan Kai Hao, 30; Teh Jin Huat, 40; Wong Kai Yan, 24; Lim Eng Hoon, 24; Kong Wai Lun, 22, dan Tan Hwa Yuan, 19.
Remaja yang turut didakwa pada prosiding hari ini berusia 17 tahun.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama lima lagi individu yang masih bebas didakwa merusuh dengan batang kayu rotan yang boleh menyebabkan kecederaan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara, di sini pada pukul 3.27 petang, 11 Jun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh mengambil kira bahawa kesalahan yang dilakukan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam bela Nur Ashiqeen Mohd. Sultan yang mewakili sembilan tertuduh memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.
Zhen Huang, Kai Hao, Zhi Ming dan Jin Huat yang diwakili peguam bela Mona Anak Leonard Lubon pula memohon mahkamah membenarkan jaminan pada kadar minimum selain menyatakan semua anak guamnya telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh juvenil dan dua lagi berusia 19 dan 21 tahun diikat jamin RM4,500 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala sepuluh lagi tertuduh dewasa ditetapkan pada kadar jaminan RM5,500 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 13 Ogos ini.
Pada 13 Jun lalu, media melaporkan seramai 13 lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan dan pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan urusan hutang.
Situasi kemudian bertukar menjadi pergaduhan besar sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan semakan rekod mendapati beberapa suspek daripada kumpulan berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. – KOSMO! ONLINE














