KUALA LUMPUR – Program Quranic Madani yang berlangsung di Bukit Bintang di sini malam ini bakal diperluaskan pada skala lebih besar pada masa akan datang bagi memperkukuh ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program itu bukan sekadar himpunan zikir, munajat dan selawat, malah menjadi medium menyampaikan mesej sejagat berteraskan kasih sayang serta kemanusiaan.
Menurutnya, sambutan luar biasa daripada ribuan pengunjung walaupun dalam keadaan hujan lebat membuktikan masyarakat dahagakan program kerohanian yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.
“Kita ingin menyampaikan mesej yang universal iaitu mesej kasih sayang. Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati antara satu sama lain, kita ingin menyampaikan mesej kasih sayang yang menjadi sunnah Rasulullah SAW,” katanya ketika berucap pada program Quranic Madani di Bukit Bintang hari ini.
Tambahnya, antara mesej utama yang diketengahkan menerusi program berkenaan ialah Kempen Sebarkan Salam sebagai usaha memperkukuh hubungan sesama masyarakat selain menyemai budaya hormat-menghormati dan silaturahim.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menghidupkan budaya memberi salam, saling membantu dan mempererat hubungan kekeluargaan demi membina sebuah tamadun serta negara yang diberkati Allah SWT. – KOSMO! ONLINE














