fbpx
Anwar ketika hadir Majlis Penutup Debat Piala Perdana Menteri di Putrajaya hari ini

Anwar imbau bahas tingkatan 5, titik mula asah akal dan jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbas kembali detik awal beliau mengenali dunia perbahasan ketika berada di bangku sekolah, sewaktu menyertai pertandingan bahas sebagai pelajar tingkatan lima.

Menurutnya, pengalaman itu bukan sekadar melatih kepetahan berucap, tetapi menjadi medan awal untuk mengasah ketajaman akal, kematangan emosi dan disiplin ilmu yang membentuk perwatakan kepimpinan hari ini.

“Saya sendiri pernah berbahas ketika tingkatan lima. Dari situ saya belajar bahawa kekuatan berhujah bukan hanya pada isi, tetapi pada kematangan berfikir dan kawalan emosi,” kata beliau dalam satu hantaran di media sosial.

Anwar berkata, gelanggang bahas menjadi ruang penting untuk membina generasi pemimpin masa depan yang bukan hanya petah, tetapi matang dalam menyusun fikir dan bersantun dalam menyampaikan hujah.

“Pertandingan ini membuktikan bahawa anak-anak kita bukan sahaja bijak berbahas, tetapi juga beradab dan berpaksikan nilai.

“Mereka tidak taksub pada suara, tetapi tunduk pada akal dan budi,” tulis Anwar.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia yang madani tidak boleh dibentuk hanya dengan kecanggihan teknologi atau kepesatan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu dipandu oleh jiwa yang luhur, akhlak yang murni dan adab yang tinggi.

Sebagai simbol penghargaan terhadap perjuangan ilmu dan budaya intelektual selama lima dekad, Anwar turut mengumumkan piala baharu yang akan menggantikan trofi sedia ada dalam edisi-edisi akan datang.

“Semoga ia menjadi perangsang untuk terus menyuburkan budaya ilmu dan perbahasan yang beradab demi Malaysia yang lebih bijaksana,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN