BERPRESTASI dan sesuai untuk pemanduan keluarga signifikan bagi jentera Mercedes-AMG GLA 35 4Matic.
GLA 35 bukan sekadar kenderaan utiliti sukan (SUV) biasa, sebaliknya adalah gabungan gaya, kuasa dan keselesaan.
Deruman enjin SUV kompak ini memberikan ‘feel’ luar biasa. AMG ini sesuai untuk mereka yang ingin tampil bergaya tanpa mengorbankan aspek praktikaliti harian.
Mercedes-AMG GLA 35 4Matic ini tersedia dalam kereta pemasangan tempatan (CKD) di kilang Mercedes-Benz Malaysia di Pekan, Pahang pada harga RM363,888 atas jalan raya tanpa insurans.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji model prestasi jenama Jerman ini selama beberapa hari.
Pertama kali menekan pedal minyak GLA 35, penulis kagum dengan prestasi ditunjukkan, kenderaan ini memecut laju sesuai dengan sistem kejuruteraan dan logo AMG yang dibawa.
Model ini dijana oleh enjin 2.0 liter 4 silinder turbo petrol dengan sistem hibrid ringan (MHEV) 48 volt yang sama, menghasilkan 306hp dan 400Nm, serta tambahan kuasa 13hp dan 150Nm menerusi motor elektrik yang bertindak sebagai alternator.
Atas kertas, kelajuan maksimum kereta ini sehingga 250 kilometer sejam (km/j) dengan prestasi pecutan dari pegun hingga 100km/j dicapai dalam masa 5.2 saat.
Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic dan suspensi AMG Ride Control membuatkan kenderaan ini begitu stabil ketika penulis melayan selekoh di jalan lama Bukit Putus – Kuala Pilah yang terkenal dengan selekoh tajam serta berliku.
Sistem transmisi AMG Speedshift DCT 8 kelajuan menjadi pilihan bagi varian AMG dengan pilihan penukaran gear manual boleh dibuat menggunakan ‘paddleshifter’.
Lebih menarik, pemilihan mod pemanduan AMG boleh dipilih daripada Comfort, Sport, Sport + dan Individual bergantung kepada struktur jalan atau prestasi yang diinginkan.

Dari segi reka bentuk luaran, GLA 35 tampil ‘macho’ dan tampak lebih agresif dengan gril Panamericana AMG, lampu multibeam LED serta perincian rim 20 inci lima jejari berkembar lengkap dengan kaliper brek warna merah.
Meninjau ke ruangan kabin, pemandu akan disambut dengan suasana mewah dengan stereng kulit Nappa AMG, tempat duduk dengan kemasan mikrofiber Dinamica, tali pinggang warna merah dan sistem lampu ambien 64 warna.
Papan pemuka pula menampilkan skrin infotainment berkembar 10.25 inci dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX), termasuk Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta fungsi navigasi yang futuristik.
Selain itu, sistem audio Burmester 12 pembesar suara memberikan pengalaman bunyi umpama dalam studio rakaman sesuai untuk menikmati lagu-lagu dari senarai Spotify ‘Driving Beats’.
Untuk keselamatan pula, SUV kompak berprestasi ini menerima Driving Assistant Package sebagai perincian standard yang menampilkan fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptive, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta dan amaran buka pintu.
Kesimpulannya, GLA 35 sangat sesuai untuk keluarga muda yang mahu gaya dan kuasa dalam satu pakej.
Bukan sekadar prestasi, tetapi kenderaan ini amat praktikal sebagai SUV harian keluarga dengan harga CKD ditawarkan mungkin boleh dimasukkan dalam senarai kereta idaman.















