fbpx
Santhiea (jaket hitam) bersama ibu bapanya tiba di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di George Town, hari ini.

Tertuduh menangis, menggigil ketika cam gambar mayat bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh keputusan kes seorang gadis berusia 23 tahun yang didakwa membunuh anak sendiri (infantisid), selepas membuang bayi perempuannya dari tingkat apartment, lima tahun lalu.

Tertuduh, M Santhiea yang ketika itu berusia 18 tahun, sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan pilihan bagi kes yang dihadapinya itu.

Sebelum ini, dia didakwa atas pertuduhan membunuh pada tahun 2020, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif atas faktor keadaan mentalnya selepas bersalin dan berdasarkan keterangan beberapa saksi.

Mengikut pertuduhan baharu di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, seorang wanita boleh disabitkan kesalahan infantisid sekiranya menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hakim Rofiah Mohamad ketika prosiding berkata, mahkamah memerlukan masa untuk mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh.

“Saya akan meneliti laporan sosial yang dikemukakan pegawai perintah khidmat masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, Mohd. Zahir Harun, hujah dan rayuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan. Jadi untuk kepentingan awam, mahkamah tetapkan 8 Ogos sebagai tarikh keputusan kes ini,” katanya.

Prosiding kes hari ini juga ditangguh sebentar selepas tertuduh menangis serta menggigil ketika proses pengecaman gambar mayat bayi dan barang-barang kes seperti baju serta selimut dilakukan.

Peguam bela, RSN Rayer yang mewakili Santhiea berkata, beliau memohon agar mahkamah mempertimbangkan tempoh tahanan reman selama empat bulan di penjara sebagai faktor mitigasi dalam hukuman yang bakal dijatuhkan.

“Anak guam saya mengalami masalah kemurungan teruk (major depressive disorder) akibat kejadian ini, dia turut cuba membunuh diri kerana tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan ibu bapanya yang selama ini memberi sepenuh kasih sayang dan didikan sempurna,” katanya yang turut memohon mahkamah mempertimbangkan bon berkelakuan baik terhadap anak guamnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan berkata, mahkamah diminta mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Katanya, tertuduh dilaporkan membalut bayi perempuan itu dengan sehelai baju-T sebelum membuangnya keluar dari tingkap rumah.

“Hasil forensik mengesahkan bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan masih hidup. Jika terus hidup, bayi itu kini berusia sekitar lima tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI