LONDON – Arsenal berada dalam situasi cukup sukar ketika ini menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Sporting Lisbon di Stadium Emirates awal pagi esok.
Imej skuad The Gunners ketika ini tercalar gara-gara kekalahan mengejut ketika melayan kunjungan Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu sehingga menjejaskan misi mereka memburu gelaran berganda.
Walaupun menang 1-0 ke atas Sporting pada pertemuan pertama minggu lalu, namun kekalahan kepada Bournemouth membuktikan bahawa apa sahaja boleh berlaku biarpun mereka bermain di laman sendiri.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa pemain-pemainnya supaya melupakan kekalahan terdahulu dan mengalihkan sepenuh fokus kepada perlawanan menentang Sporting bagi meneruskan kemaraan ke separuh akhir UCL.
“Apabila pasukan kalah di laman sendiri, kami perlu menerimanya dengan hati terbuka dan tidak ada sebarang alasan. Apa yang saya mahukan daripada semua pemain adalah berdepan dengan situasi ini.
“Kami perlu turun sebagai satu pasukan selain memperbaiki beberapa kelemahan yang ada untuk aksi Rabu ini (awal pagi esok). Kami perlu menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan itu,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut berharap anak-anak buahnya untuk menyesuaikan diri dengan setiap tekanan yang ada kerana itulah aspek paling penting buat sesebuah pasukan yang sedang memburu kejuaraan. – AGENSI














