PASIR MAS – Empat tekong darat termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengangkut seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myamar dengan menggunakan empat buah kenderaan di dua lokasi berasingan di Tumpat dekat sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Lee Kai Lun, 41, Lim Ting Ting, 49, Soh Soo Yang, 51, dan Leong Chak Kuan, 53, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Bagimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kes melibatkan penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ting Ting dan Chak Kuan didakwa mengangkut 14 warga Myanmar dengan menggunakan dua buah kenderaan iaitu jenis Toyota Rush dan Perodua Alza di tepi jalan Kampung Chat, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 18 Mac lalu.
Kai Lun dan Soo Yang pula didakwa mengangkut 14 warga Myanmar menggunakan dua buah kenderaan jenis Perodua Alza di Jalan Kampung Pulau Besar, Tumpat dekat sini kira-kira pukul 5.50 pagi pada 18 Mac lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala Kai Lun diwakili peguam Ahmad Nurie Abd. Rahman manakala Mohd. Yusri Mohd. Yusoff dan Mohd. Izhar Ahmad Azmi pula mewakili Chak Kuan.
Dua lagi tertuduh iaitu Ting Ting dan Soo Yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes tersebut perlu dimohon di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE













